HULU DUNGUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersiap siaga bagi menghadapi gelombang banjir seterusnya, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata pihaknya telah mengadakan beberapa siri mesyuarat di pelbagai peringkat bersama agensi penyelamat lain bagi memastikan tindakan pantas dan cekap sentiasa diambil dalam menjamin keselamatan orang ramai.

"Kita sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia bagi memastikan kita ambil tindakan yang cepat. Semestinya kesiapsiagaan kita dibantu oleh agensi penyelamat lain seperti APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia), pihak bomba (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia) serta ATM (Angkatan Tentera Malaysia).

"Kita sudah banyak kali adakan mesyuarat berkaitan persiapan sebelum ini di peringkat Putrajaya, negeri dan daerah semua dah ada,” katanya kepada pemberita pada Program Penyampaian Sumbangan Kepada Mangsa Banjir di Balai Polis Kuala Jengai di sini hari ini.

Beliau berkata sekiranya keadaan banjir di satu-satu kawasan sangat getir, anggota penyelamat dari kawasan atau negeri lain akan turun membantu.

“Contohnya kalau situasi banjir di Terengganu sangat teruk dan keadaan mendesak, kita akan gerakkan anggota penyelamat dari Selangor, namun sepanjang banjir pada Monsun Timur Laut ini kita hanya menggunakan kekuatan yang ada di negeri terbabit tanpa melibatkan negeri lain,” katanya.

 -- BERNAMA