Ringkasan AI
- Dua doktor hospital kerajaan dan seorang ejen direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes kartel memalsukan tuntutan hilang upaya Perkeso, yang melibatkan RM2.1 juta sejak 2017.
- Suspek ditahan dalam operasi di Pulau Pinang, di mana setakat ini lima doktor dan 31 individu lain telah ditangkap.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009, dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai butir palsu atau RM10,000.
Perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek berusia 32, 43 dan 50 tahun itu dikeluarkan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin di Mahkamah Majistret Jenayah 1, George Town pada Khamis.
Kesemua mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, semua suspek tiba ke Kompleks Mahkamah dengan berpakaian lokap SPRM kira-kira jam 9 pagi.
Mereka ditahan dalam satu operasi sekitar Pulau Pinang pada Rabu susulan penahanan tiga doktor dan 30 individu membabitkan kes sama semalam.
Semalam, media melaporkan seramai tiga doktor dan 30 individu direman sehari hingga tiga hari bagi membantu siasatan selepas dipercayai terlibat dengan kartel memalsukan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Perkeso berjumlah RM2.1 juta sejak 2017.
Sehingga kini, jumlah tangkapan adalah lima doktor pakar tulang dan 31 individu lain.
Menurut sumber, kebanyakan tuntutan palsu berkenaan dibuat berkaitan kecederaan Anterior Cruciate (ACL) dan masalah tulang rawannya tergelincir (Slip Disc).
Pemohon dipercayai menerima 50 peratus daripada jumlah tuntutan manakala baki 50 peratus dibahagi antara doktor, ejen serta runner.