Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata projek melibatkan kos RM2.1 bilion itu akan menjadi pusat utama dalam bidang maritim serta menyokong pelbagai aktiviti perdagangan dan industri yang bakal memberi impak besar kepada ekonomi tempatan dan negara.
Beliau berkata KMH bukan sekadar projek pembangunan tetapi ia merupakan simbol kemajuan dan harapan masa depan yang akan menarik minat golongan pelabur membangunkan kilang serta kemudahan industri berkaitan, sekali gus bakal mewujudkan 17,000 peluang pekerjaan apabila beroperasi kelak.
"Projek KMH yang berorientasikan industri maritim ini akan melibatkan pembinaan satu limbungan kapal bertaraf dunia. Pada hemat saya, dengan adanya hab maritim ini peluang perkembangan untuk pemain industri yang terlibat dalam industri ini akan meningkat secara signifikan.
"Oleh itu, akan wujud satu ekosistem yang mantap dan kukuh yang boleh menjadikan Pahang sebagai satu kuasa baharu dalam industri maritim negara. Ini juga akan dapat memperkukuhkan kedudukan negeri ini sebagai negeri yang mempunyai industri berimpak tinggi dalam jangka masa panjang," katanya.
Beliau berkata demikan ketika berucap di Majlis Pecah Tanah Kuantan Maritime Hub di Mukim Sungai Karang, Gebeng di sini semalam, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib.
Wan Rosdy berkata KMH merupakan satu lagi projek berimpak tinggi di negeri ini selain Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan, dan beliau percaya apabila kesemuanya siap dan beroperasi tidak mustahil Pahang akan menjadi lebih maju daripada negeri lain.
"Hasrat kerajaan negeri untuk menarik pelabur tempatan membantu merealisasikan visi mempertingkatkan, mempelbagaikan dan memperkukuhkan pembanguan industri berimpak tinggi dengan menggunakan teknologi baharu dan terkini, akan dapat dicapai dengan adanya projek KMH.
"Saya beri jaminan kerajaan negeri akan beri kerjasama yang baik untuk projek ini dan ia dapat dilakukan kerana kita ada kestabilan politik. Saya berharap dengan pengalaman dan komitmen Syarikat Muhibbah Engineering (M) Bhd, projek KMH berjalan lancar dan dibangunkan dengan jayanya," katanya.
Projek yang melibatkan tapak seluas 202.34 hektar itu bakal menyaksikan beberapa komponen pembangunan seperti pusat pembinaan dan penyelenggaraan kapal, pusat pembinaan struktur khusus untuk minyak dan gas, industri latihan teknikal, pusat industri maritim serta pembangunan hartanah bercampur.
-- BERNAMA