GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk 60 migran disyaki etnik Rohingya dan warga Myanmar dalam Operasi Redback XVII 2022 dengan kerjasama Australian Border Force (ABF), di Perairan Pulau Pinang, di sini 1 September lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi APMM Laksamana Muda Maritim Hamid Mohd Amin berkata pihaknya mengusir keluar migran terbabit di kedudukan kira-kira 3.0 batu nautika barat Sungai Pinang, di sini dalam Operasi Redback XVII yang dijalankan sejak 26 Ogos hingga hari ini.

"Selain itu, dalam operasi yang sama seramai lapan warga Myanmar ditahan di sekitar perairan Pulau Pinang atas kesalahan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri menurut Akta Imigresen 1959/63.

"Sebanyak 13 bot nelayan asing Indonesia juga berjaya diusir keluar dari perairan negara dengan bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hasil pengesanan oleh pesawat Maritim Malaysia CL 415MP di kedudukan kira-kira 67 batu nautika Barat Daya Pulau Kendi pada 5 Sept lepas," katanya selepas penutupan Operasi Redback XVII yang turut dihadiri Timbalan Komander Pasukan Petugas Agensi Bersama Australia Komander Ky Blackman di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai operasi itu, Hamid berkata secara keseluruhannya Operasi Redback itu telah melaksanakan 178 pemeriksaan dan penggeladahan ke atas vesel-vesel di laut melibatkan tiga tangkapan serta dua pengusiran.

Katanya sepanjang operasi dengan penggunaan tiga aset laut dan 60 anggota itu, ia menjalankan rondaan rutin, pemeriksaan serta pemantauan sempadan perairan selain memantau titik panas secara berterusan.

"Operasi Redback ni merupakan satu inisiatif kerjasama antara APMM dan ABF dalam usaha mengekang, membanteras dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan melalui perairan yang berteraskan Memorandum Persefahaman Bersama antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Australia berkaitan bantuan serta kerjasama melibatkan operasi dan penguatkuasaan Maritim yang ditandatangani bersama pada 12 Julai 2011," katanya.

Beliau berkata secara keseluruhannya kerjasama ini berfokus kepada persetujuan bersama dalam membanteras jenayah penyeludupan dan pemerdagangan manusia termasuklah dadah serta aktiviti jenayah rentas sempadan melalui perairan.

"Sepanjang dua minggu Operasi Redback, Maritim Malaysia dan ABF juga telah melaksanakan program 'Inisiatif Bertanya Khabar' atau 'community outreach' dengan menyampaikan penjelasan secara santai, mengedarkan risalah dan poster, menyantuni komuniti maritim setempat di beberapa lokasi iaitu Kuala Sungai Juru, Telok Kumbar dan Kuala Sungai Pinang.

"Mesej-mesej positif dan peringatan berkaitan jenayah rentas sempadan turut dipaparkan melalui papan iklan, kain rentang dan poster di lokasi-lokasi strategik di sekitar Pulau Pinang," katanya.

-- BERNAMA