Beg berwarna hitam berisi dua lampu suluh, kipas tangan, alat pengecas telefon, segugus kunci motor dan lampu kepala itu disahkan bakal tunang Aina Husna, 25, iaitu Muhammad Nor Iqbar Shaharuddin, 27.
Turut ditemukan satu pinggan dan sebatang kayu cota yang tersangkut di pukat tunda, namun barang berkenaan disahkan bukan milik Aina Husna ataupun seorang lagi mangsa yang masih hilang, Yusof Kassam, 66.
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kemaman Muhammad Faisal Abdul Rahim berkata kesemua barangan itu ditemukan di dasar laut pada kedalaman 30 meter (m), kira-kira 120 m dari lokasi bot berkenaan berlabuh.
Beliau berkata penemuan itu dibuat pada selaman kedua oleh sembilan penyelam daripada Skuadron Selam, Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat Maritim Malaysia.
"Operasi selaman hari ini berpandukan kepada lokasi yang diberikan oleh tekong, menggunakan bot dilengkapi teknologi untuk mengesan objek di bawah laut," katanya di Pangkalan Hadapan Carilamat di Zon Maritim Kemaman di sini.
Operasi mencari dan menyelamat (carilamat) hari ini memasuki hari keempat melibatkan dua bot peronda Maritim Malaysia dan sebuah bot milik Jabatan Kastam Diraja Malaysia dengan kekuatan 27 pegawai dan anggota.
Dalam kejadian Ahad lepas, sebuah bot nelayan yang membawa sembilan individu termasuk tekong dan kru untuk mencandat sotong dan memancing, karam selepas dilanggar sebuah tongkang ketika berlabuh pada kedudukan tujuh batu nautika atau 13 kilometer dari pantai perairan Kemaman, kira-kira 6.30 pagi.
Lima daripada sembilan mangsa terselamat, dua ditemukan lemas manakala Aina Husna dan Yusof, masih hilang.
-- BERNAMA