Menurut Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, peringatan ini penting memandangkan cuaca yang tidak menentu pada penghujung tahun akibat Monsun Timur Laut (MTL).
Katanya, Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana (BCLBB) Maritim Malaysia merekodkan sebanyak 3,275 kes insiden di laut dengan 16,420 mangsa direkodkan dari tahun 2006 hingga 20 Disember tahun ini
"Daripada jumlah mangsa itu,1,643 mangsa meninggal dunia dan 777 mangsa masih diklasifikasikan sebagai hilang.
"Statistik dari Januari hingga 20 Disember tahun ini telah merekodkan sebanyak 216 kes insiden di laut melibatkan 1,253 mangsa dengan 62 meninggal dunia dan 26 dikategorikan hilang," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Beliau turut meminta agar mereka yang ingin melakukan aktiviti di laut sentiasa memakai jaket keselamatan selain memastikan bot yang dinaiki berada dalam keadaan selamat.
Mohd Rosli turut mengingatkan semua pengendali bot penumpang untuk memastikan bot yang digunakan dalam keadaan baik serta menyediakan jaket keselamatan sebelum beroperasi, selain tidak membawa penumpang melebihi kapasiti yang ditetapkan.
"Beliau meminta kerjasama orang ramai untuk melaporkan sebarang aduan kecemasan di laut melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim yang terdekatuntuk tindakan segera," ujarnya.