PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan kemasukan 206 pendatang tanpa izin di perairan negara dari Januari hingga Julai lepas.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata dalam tempoh itu juga, pihaknya merekodkan 446 kes tangkapan melibatkan vesel nelayan tempatan atas pelbagai kesalahan dan 151 kes melibatkan vesel kargo.

Beliau berkata Maritim Malaysia turut merekodkan 68 kes tangkapan melibatkan pencerobohan vesel nelayan asing serta enam kes penyeludupan kontraban.

"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan atau aktiviti jenayah di kawasan Zon Maritim Malaysia dalam memastikan perairan negara sentiasa selamat dan sejahtera," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Saiful Lizan berkata agensi itu mengadakan Program Pemasangan Jalur Gemilang bagi Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Maritim Malaysia melibatkan hampir 50 kenderaan jabatan dan motosikal milik warga Maritim Malaysia.

Bersempena program itu, beliau turut mengalu-alukan pelaksanaan Kibar Jalur Gemilang di peringkat Maritim Negeri dan Zon Maritim bagi bersama-sama menyemarakkan semangat patriotisme Jiwa Merdeka sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-67.

Beliau turut meminta seluruh warga Maritim Malaysia memberikan taat setia dan perkhidmatan yang cemerlang bagi memperkasa agenda pembangunan negara.

-- BERNAMA