Bot pertama ditahan ketika bersauh pada kedudukan lebih kurang 18.4 batu nautika pada jam 10.45 pagi semalam manakala bot kedua pada jam 1.30 pagi ini ketika leka mencandat sotong pada kedudukan 28 batu nautika dari muara Tok Bali.
Pengarah Maritim Kelantan Erwan Shah Soahdi berkata tangkapan tersebut dilakukan secara berasingan oleh dua bot peronda yang sedang melaksanakan rondaan Op Naga Barat, Op Damai dan Op Tiris.
"Hasil pemeriksaan pada bot pertama mendapati tekong gagal mengemukakan lesen bot berkenaan, manakala bot kedua pula didapati melanggar syarat sah lesen kerana melakukan aktiviti mencandat sotong kurang daripada jarak dibenarkan iaitu di kawasan bawah 30 batu nautika dari daratan berhampiran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya bot pertama menggunakan seorang kru warga Thailand berusia 60 tahun, manakala bot kedua menggunakan tujuh orang kru termasuk tekong warga Vietnam berusia antara 19 hingga 59 tahun.
Katnya kesemua kru warga asing itu mempunyai dokumen pengenalan diri dan pas bekerja yang sah.
Erwan Shah berkata kedua-dua bot berkenan telah dibawa ke jeti Maritim Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 kerana gagal mengemukakan buku lesen dan melanggar syarat sah lesen.
-- BERNAMA