KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang dan Zon Maritim Mersing menahan sebuah bot kargo sarat dengan 420 guni serbuk bijih timah dianggarkan bernilai RM1.5 juta dan dipercayai cuba diseludup ke negara ini dari Indonesia, Rabu lepas.

Pengarah APMM Pahang Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata bot kargo itu ditahan di jeti pendaratan ikan persendirian Tanjung Gemok, Kuala Rompin kira-kira 11.30 malam selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan mendapati bot kargo itu merupakan bot kargo Indonesia dikendalikan oleh nakhoda kapal bersama tiga anak kapal semuanya warga Indonesia berusia antara 34 hingga 40 tahun, ditahan untuk siasatan lanjut.

"Mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada pihak berkuasa untuk membawa muatan kargo atau barang berduti, nakhoda bot turut tidak memaklumkan ketibaan kepada pihak berkuasa dan gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil rampasan dibawa ke jeti Pos Maritim Teluk Gading sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Imigresen 1959/63.

-- BERNAMA