KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd, Nasiruddin Mohd Ali dan isterinya Azura Md Yusof antara 16 individu yang dikenakan tahanan reman di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA bermula hari ini.


Ringkasan AI
  • Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings Sdn Bhd, Nasiruddin Mohd Ali, dan isterinya Azura Md Yusof, bersama 14 individu lain dikenakan tahanan reman di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), menjadikan jumlah keseluruhan tahanan seramai 58 orang.
  • Operasi ini, dikenali sebagai Op Global, telah menyelamatkan 625 mangsa berusia antara 2 bulan hingga 28 tahun, dengan 553 mangsa ditempatkan di pusat perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan 72 lagi diserahkan kepada keluarga mereka.
  • Daripada 97 kertas siasatan, 12 melibatkan sembilan individu telah dituduh dengan 34 pertuduhan. Empat kertas siasatan telah diberikan arahan tuduh oleh Jabatan Peguam Negara dan akan dituduh dalam masa terdekat.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, penahanan terbaharu itu menjadikan keseluruhan individu berkaitan GISB yang direman di bawah SOSMA adalah seramai 58 orang.

Beliau berkata, Op Global yang telah memasuki fasa keempat, turut menyaksikan keseluruhan 625 mangsa berusia di antara 2 bulan hingga 28 tahun, dengan 553 mangsa ditempatkan di 13 pusat perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan 72 lagi telah diserahkan kepada keluarga mereka.

“Ingin saya tegaskan kembali tujuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan operasi ini ialah untuk menyelamatkan anak-anak GISB yang kita dapat maklumat ada unsur-unsur pengabaian dan sebagainya.

"Itu matlamat asalnya, untuk menyelamat. Kemudian prosecute mereka yang kita dapati bersalah dalam elemen jenayah yang kita sebutkan tadi.

"Dan seterusnya to neutralize segala bentuk jenayah, mahupun ancaman kepada keselamatan dalam negara,” katanya lagi.

Mohd Shuhaily berkata, daripada keseluruhan 97 kertas siasatan satu kertas siasatan jenayah terancang di bawah Seksyen 130v Kanun Keseksaan dan satu kertas siasatan di bawah Seksyen 4(1) AMLATFPUAA  2001.

Daripada jumlah tersebut, 12 kertas siasatan melibatkan sembilan individu telah dituduh dengan 34 pertuduhan.

Selain itu beliau berkata, sejumlah empat kertas siasatan juga telah diberikan arahan tuduh oleh Jabatan Peguam Negara dan akan dituduh dalam masa terdekat.

“Dua kertas siasatan (telah dibuka) di bawah Seksyen 12 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Satu kertas siasatan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017; dan satu kertas siasatan di bawah Seksyen 5(1) Akta Pusat Jagaan 1993,” katanya lagi.