AYER KEROH: Tiga anak lelaki bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad yang ditahan dalam Op Global semalam, dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Melaka dengan bon jaminan sebanyak RM1,000 setiap seorang, hari ini.

Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin membuat keputusan itu selepas menerima permohonan dibuat Jabatan Agama Islam Negeri Melaka (Jaim) bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 63 dibaca bersama Seksyen 62 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 dijalankan.

Mohd Yunus kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 10 Oktober ini.

Ketiga-tiga mereka yang berusia 38,42 dan 45 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Ayer Molek Perdana, Alor Gajah dalam Op Global yang dijalankan serentak di negeri Melaka semalam.

Mengikut Seksyen itu, mereka disyaki melakukan perbuatan yang menghina agama Islam secara lisan atau tulisan yang boleh dipenjara sehingga 36 bulan atau didenda RM 5,000 atau kedua-duanya sekali.

Semalam, Jaim merampas 285 barang kes yang mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISB) disita selepas serbuan terhadap 19 premis menerusi operasi Op Global dilakukan di negeri itu.

Antaranya termasuk 12 keping gambar pemimpin utama Al-Arqam, Ashaari Muhammad dan 138 buku berkaitan Al-Arqam yang telah diharamkan oleh Fatwa Negeri Melaka termasuk Aurad Muhammadiyah.

Ia selepas polis Melaka menyelamatkan 34 kanak-kanak di tiga premis yang disyaki mempunyai kaitan dengan GISB di sekitar Alor Gajah hari ini.

Pada serbuan pertama yang dilakukan kira-kira pukul 7 pagi semalam, 19 kanak-kanak diselamatkan ketika serbuan di sebuah kediaman dipercayai milik ahli pertubuhan itu di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah.

Manakala 15 lagi kanak-kanak di selamat selepas dua buah lagi rumah ahli kumpulan itu di serbu di Taman Ayer Molek Perdana, Alor Gajah, kira-kira pukul 2 petang hari sama.

Tangkapan turut dibuat ke atas 11 individu dewasa yang terdiri daripada tiga lelaki dan lapan perempuan berumur dalam lingkungan 18 hingga 45 tahun kerana disyaki masih mengamalkan ajaran Al-Arqam serta memiliki bahan-bahan penerbitan berkaitannya.