Selepas pembelian hartanah Dudley House dan 333 Exhibition Street, Majlis Amanah Rakyat (Mara) kembali menjadi perhatian umum berkaitan satu lagu hartanah di Melbourne, Australia.

Kali ini, Mara didakwa telah terlebih bayar sejumlah RM18 juta bagi hartanah di alamat 51 Queen Street, kata National Oversight and Whistleblowers (NOW).

Presidennya Akmal Nasir berkata Mara Inc telah membuat pembayaran sebanyak AUS$22 juta (RM70.4 juta) daripada pembeli terdahulu yang tidak dinyatakan namanya pada Mac 2013.

Katanya, hartanah 51 Queen Street itu telah dibeli oleh Quintessential Group of Companies (QGC) pada 2010 pada nilai AUS$8.2 juta.

Jelas Akmal, tiga tahun kemudian hartanah itu telah dijual kepada pihak ketiga pada harga AUS$16.65 juta.

“Ini membuktikan bahawa pembelian 51 Queen Street telah dilakukan menggunakan kaedah yang sama dengan pembelian Dudley House dan 333 Exhibition Street.

"Dalam semua pembelian tersebut, Mara Inc telah membayar lebih daripada harga pasaran,” katanya dalam satu kenyataan.

NOW mahu Pengerusi Mara Tan Sri Annuar Musa menjelaskan sebab Mara meluluskan pembelian hartanah yang harganya RM18 juta lebih mahal daripada harga pasaran.

“Siapa pemilik hartanah itu sebelum dibeli Mara?” tanya Akmal.

Dia menambah, orang ramai mempunyai hak untuk mengetahui ke mana wang tersebut digunakan, selain berkata yang wang tersebut sepatutnya digunakan untuk pembangunan Bumiputera melalui pendidikan dan peluang perniagaan.

BACA: Mara cadang lantik firma antarabangsa jalankan audit hartanah