MANJUNG: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat insiden nota berbaur ugutan yang ditabur di hadapan rumah ibu bapanya di Ayer Tawar, di sini pada Khamis.

Kor Ming berkata laporan polis telah dibuat dan berharap siasatan menyeluruh dilakukan bagi mengelak kes sama berulang kepada pemimpin lain.

Mengakui terkejut dengan insiden itu, Kor Ming melahirkan rasa kesal serta meluah kebimbangan apatah lagi melibatkan keselamatan ahli keluarganya.

"Saya bimbang kerana perkara ini (ugutan) seperti sudah menjadi seperti budaya pula, sebelum ini kes perbuatan khianat membakar kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham.

"Kali ini ugutan terhadap ibu bapa saya, memang ia merisaukan saya apatah lagi ayah saya sudah berusia 86 tahun tidak mampu berjalan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis "Wisma Demokrasi Fundraising Dinner" dekat sini, malam tadi.

Pada Khamis, ibu Kor Ming yang berusia 76 tahun juga seorang pesara membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung pada 10.15 pagi selepas menemukan berpuluh kertas berunsur ugutan di hadapan rumahnya.

Sementara Kor Ming berkata walaupun berbeza pendapat dalam dasar ataupun idea politik, namun ia tidak membenarkan perbezaan itu melanggar batas-batas kesusilaan selain boleh mengganggu-gugat keselamatan anggota keluarga.

"Pagi tadi saya telah berjumpa dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung perkara ini dan beliau menyatakan tindakan selanjutnya akan diambil.

"Apa yang paling penting adalah negara kita mempunyai rukun dan rukun itu adalah kedaulatan undang-undang yang perlu kita sanjung dan bukannya bertindak mengikut hawa nafsu," katanya.

-- BERNAMA