KUALA LUMPUR: Program Residensi Rakyat (PRR) akan kuat kuasakan penggunaan kad akses kepada penghuni untuk pastikan kos penyelenggaraan dilangsaikan. 


Ringkasan AI
  • Penggunaan Kad Akses PRR: Mulai tahun depan, kad akses akan diperlukan untuk masuk ke premis PRR bagi memastikan penghuni membayar kos penyelenggaraan.
  • Dana Penyelenggaraan PPR: Kerajaan memperuntukkan RM200 juta dalam Belanjawan 2025 untuk baik pulih lif dan mengecat semula bangunan PPR yang usang.
  • Kebersihan PPR: Penghuni PPR diminta menjaga kebersihan sebagai sebahagian daripada usaha untuk memastikan perumahan awam dalam keadaan baik.


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, bagi penghuni yang tidak membayar komitmen tetap kepada PRR, maka individu tersebut akan dihalang daripada menikmati fasiliti di perumahan awam terbabit. 

“Mulai tahun depan kita ada langkah-langkah baharu di Program Residensi Rakyat (PRR), yang mana kad akses diperlukan untuk masuk ke premis PRR. 

“Kebanyakan perumahan awam berada dalam keadaan usang adalah kerana ramai yang enggan membayar kos penyelenggaraan. 

“Bagi memastikan semua penghuni membayar kos penyelenggaraan, siapa yang bayar boleh masuk, siapa yang tidak bayar mohon maaf (tidak dibenarkan masuk). Ini cara untuk pastikan setiap penghuni membayar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.


PRR akan kuatkuasa penggunaan kad akses penghuni, pastikan kos penyelenggaraan dibayar - Nga

Tambah Kor Ming, bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) pula, kerajaan telah memperuntukan dana khusus bagi tujuan penyelenggaraan PPR-PPR sedia ada.

“Satu berita baik yang saya boleh kongsikan, dibawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam Belanjawan 2025, untuk pertama kali diberikan peruntukan yang terbesar untuk membaiki lif. 

“RM200 juta akan diperuntukan tahun depan bagi tujuan baikpulih lif dan cat semula bangunan. Ini bagi memastikan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang usang dan daif, berwajah baharu. 

“Saya perlukan kerjasama semua penghuni PPR untuk jaga kebersihan kerana kebersihan ialah sebahagian daripada keimanan,” jelasnya.

Kor Ming dan delegasi Malaysia ketika ini menghadiri Forum Bandar Dunia (World Urban Forum; WUF) ke-12 (WUF12) yang berlansung di Kaherah, Mesir antara 4 hingga 8 November 2024.

Di forum berkenaan, Rumah Malaysia menampilkan 21 rakan pameran, termasuk Kerajaan Negeri Selangor, pihak berkuasa tempatan, wakil sektor swasta dan universiti terkemuka.


Agenda AWANI: WUF 12: Segalanya bermula di rumah