WUF12 akan dihadiri pemimpin negara, menteri serta datuk bandar dari seluruh dunia selain golongan pakar dan aktivis yang berkaitan dengan isu perbandaran, ekonomi dan perubahan iklim.
Delegasi Malaysia diketuai oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Berikut beberapa fakta penting mengenai penganjuran WUF12.
Apa itu World Urban Forum?
World Urban Forum (WUF) atau Forum Bandar Dunia merupakan sebuah persidangan utama PBB mengenai pembangunan bandar mampan dianjurkan sejak 2001 untuk menangani isu urbanisasi global.
Forum ini dianjurkan setiap dua tahun dan kali ini, persidangan berlangsung dari 4 hingga 8 November di Kaherah, Mesir. Forum ini pernah dianjurkan di Kuala Lumpur pada tahun 2018 untuk edisi WUF kesembilan.
Sejak ia bermula, forum ini telah membantu agensi PBB untuk mengenal pasti trend dan isu serta membina perkongsian bagi pembangunan bandar mampan. Selain itu, ia juga platform untuk mencari penyelesaian kepada krisis perumahan global serta krisis utama seperti perubahan iklim, konflik dan kemiskinan.
Mengapa ia penting?
Hari ini, sekitar 50 peratus daripada populasi global tinggal di bandar, dan angka ini dijangka meningkat kepada 70 peratus menjelang 2050. Perpindahan ke pusat bandar memberi impak besar kepada komuniti, bandar, ekonomi, perubahan iklim dan dasar.
Perubahan terbesar akan berlaku di Afrika, di mana populasi dijangka hampir dua kali ganda dalam 30 tahun akan datang.
Kaherah, bersama beberapa bandar Afrika lain, dijangka menjadi salah satu hab metropolitan terbesar di dunia, menempatkan lebih daripada 10 juta orang menjelang tahun 2035.
Apa tema tahun ini?
Tema WUF12 adalah "Semua bermula di rumah: Tindakan tempatan untuk bandar dan komuniti mampan", menekankan bahawa penyelesaian mesti bermula di tempat orang tinggal, bekerja dan membina kehidupan mereka.
Menurut Pengarah Eksekutif UN-Habitat, Anacláudia Rossbach, dengan membawa perbincangan dan memberi fokus pada tindakan tempatan, WUF12 akan mendapatkan penyelesaian terbaik untuk semua pihak.
“WUF12 akan berfungsi sebagai platform untuk membincangkan dan belajar daripada inisiatif tempatan yang berjaya, memastikan kemajuan yang dicapai di satu bandar dapat memberi inspirasi dan memberi maklumat kepada usaha serupa di tempat lain,” kata Rossbach.
Apa tindakan seterusnya?
Bagi UN-Habitat, kejayaan WUF12 akan melibatkan penubuhan perkongsian dan koalisi baru untuk memajukan pembangunan bandar mampan, memajukan Agenda Perbandaran Baharu agensi tersebut dan Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan, yang kedua-duanya mencadangkan visi untuk masa depan yang lebih baik dan lebih mampan untuk semua.