Rundingan gencatan senjata Gaza berakhir dengan beberapa kemajuan
Menurut negara-negara perantara itu, "jurang yang masih ada" antara Israel dan Hamas Palestin akan ditutup dalam beberapa hari akan datang.
Bernama
Fri Aug 16 2024
Kepulan asap kelihatan susulan serangan Israel ke atas bangunan kediaman, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan Hamas, di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza, 16 Ogos 2024. - REUTERS
KAHERAH: Rundingan selama dua hari mengenai gencatan senjata dalam konflik Israel-Palestin di Gaza berakhir di Doha, menurut negara-negara perantara iaitu Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat.
Agensi berita Jerman (dpa) melaporkan bahawa negara-negara perantara berkenaan menyatakan "jurang yang masih ada" antara Israel dan Hamas Palestin akan ditutup dalam beberapa hari akan datang.
Kedua-dua pihak telah diberikan cadangan yang selaras dengan prinsip pelan damai Presiden AS Joe Biden.
Satu lagi mesyuarat dirancang di Kaherah sebelum hujung minggu depan bagi mencapai persetujuan di bawah syarat-syarat ini.
"Rundingan ini serius dan membina serta dijalankan dalam suasana yang positif," menurut kenyataan dari ketiga-tiga negara berkenaan.
"Pasukan kerja akan terus melaksanakan kerja teknikal dalam beberapa hari akan datang mengenai butiran pelaksanaan, termasuk pengaturan untuk melaksanakan peruntukan kemanusiaan yang meluas dalam perjanjian itu serta perkara khusus berkaitan tahanan.
"Pegawai kanan daripada kerajaan kami akan berkumpul semula di Kaherah sebelum hujung minggu depan dengan tujuan untuk memuktamadkan perjanjian di bawah syarat yang dikemukakan," kata tiga negara perantara itu lagi.
Terdahulu, diplomat yang mengetahui kandungan rundingan itu memberitahu dpa bahawa terdapat "beberapa kemajuan."