KAHERAH: Malaysia menyeru komuniti global untuk melakukan lebih banyak kerjasama antara masyarakat, swasta dan awam (4P) dalam usaha membangunkan bandar dan komuniti yang mampan.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, kualiti hidup yang berdaya huni tidak akan dapat dinikmati tanpa adanya penyertaan penuh sektor swasta.

Nga berkata demikian dalam ucaptama beliau di Persidangan Perhimpunan Perniagaan World Urban Forum (WUF) yang berlangsung di Kaherah.

“70 peratus daripada kekayaan global berada di tangan swasta, justeru perbandaran lestari tidak akan dapat dicapai tanpa bantuan komuniti perniagaan secara menyeluruh” kata Nga.

Nga turut menekankan bahawa tadbir urus yang baik adalah kunci untuk memastikan prinsip perkongsian dilaksanakan dengan cara yang telus dan bertanggungjawab.

“Bagi memudahkan perkongsian yang sebenar, adalah penting bagi negara anggota untuk membangunkan pelan fizikal negara yang secara jelas mengenal pasti peluang untuk pelaburan bersama daripada sektor swasta," katanya.

Nga turut menyeru komuniti antarabangsa untuk menjadikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan pematuhan prinsip ESG sebagai asas untuk pembiayaan dan pelaburan dalam bandar-bandar.

“Lebih penting lagi, saya menyeru institusi kewanganuntuk menyediakan pembiayaan dan geran yang membolehkan sektor swasta menggerakkan sumber daya untuk membantu kita mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” tambahnya.

Nga juga menegaskan bahawa nilai kemanusiaan harus menjadi teras dalam perancangan bandar dan pembangunan mampan.

Beliau menyatakan bahawa kemajuan Malaysia dibina atas dasar kerjasama kukuh dengan komuniti perniagaan yang dinamik.

“Di Malaysia, kami telah berjaya menaik taraf penempatan dengan menyediakan perumahan mampu milik serta perkhidmatan asas bagi memastikan tiada siapa yang tertinggal dalam dunia yang semakin urbanisasi ini,” katanya.

World Urban Forum ke 12 (WUF12) telah menghimpunkan wakil-wakil menteri dari 84 negara, empat ketua negara, serta 1,359 datuk bandar atau wakil mereka, dengan jumlah keseluruhan peserta seramai 37,000 orang dari 182 negara.

Dianjurkan sejak tahun 2001 oleh UN-Habitat, forum ini bertujuan untuk berkongsi strategi antara negara dalam menangani cabaran urbanisasi dan bersama-sama membangunkan penyelesaian pembangunan mampan.