Kesembuhan segera pelumba sukan pemotoran Muhammad Zamri Baba yang terlibat dalam kemalangan semasa mewakili negara dalam perlumbaan 600cc Super Sport di Litar Antarabangsa Sentul, Indonesia semalam turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS melahirkan simpati terhadap nasib yang menimpa pelumba itu yang kini sedang dalam pengawasan rapi pihak hospital.

“Saya melahirkan rasa sedih dan simpati terhadap pelumba sukan permotoran negara Muhammad Zamri Baba yang telah terlibat dalam kemalangan semalam.

“Marilah kita sama-sama mendoakan agar beliau segera sembuh dan sihat sepenuhnya. Semoga ahli keluarga diberi kesabaran dan kemudahan untuk bersama beliau sepanjang musibah ini,” ujar Nik Mohamad Abduh.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Persekutuan Motorsikal Antarabangsa (FIM), Muhammad Zamri telah terbabas ketika memasuki pusingan kedua sebelum beliau dirempuh oleh pelumba lain.

Kecederaan serius itu menyebabkan beliau segera dikejarkan ke hospital yang berdekatan.

Pelumba yang mewakili MuSASHI Boon Siew Honda Racing itu dilanggar oleh seorang lagi pelumba selepas terbabas semasa Pusingan 2 Kejohanan Perlumbaan Motosikal FIM Asia Road 2015 pada Ahad.

Difahamkan, Zamri mungkin dihantar untuk mendapatkan rawatan lanjut di Jakarta atau di Kuala Lumpur.

BACA: Netizen berkongsi doa untuk Zamri Baba di media sosial