Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam pada Isnin, tekad akan membantu proses kempen pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang bagi mengajak pengundi di situ menolak Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari pengundian nanti.

Kira-kira 40 NGO menerusi perbincangan telah mengemukakan 20 alasan syarie untuk pengundi-pengundi itu tidak memilih Anwar pada 23 Mac ini kerana menurut mereka Anwar tidak layak memimpin.

Presiden Jalur Tiga Malaysia (JATI) Datuk Dr Hasan Ali berkata NGO-NGO tersebut telah mendapati Anwar tidak layak untuk bertanding kerana tidak memenuhi mana-mana kriteria sebagai calon di situ.

"Para pengkaji politik daripada kalangan NGO-NGO Islam telah mengenalpasti secara berfakta lebih 20 alasan syarie mengapa pengundi DUN Kajang semestinya menolak Anwar Ibrahim," katanya ketika membacakan sebuah kenyataan pada sidang media di kediamannya pada Isnin.

Menurut Hasan, antara 20 alasan syarie yang dikemukakan, termasuk dakwaan yang mengatakan Anwar berpegang pada fahaman pluralisme yang menganggap status Islam sama seperti agama-agama lain.

Selain itu, dakwaan itu juga menyebut bahawa Ketua Umum PKR itu dikatakan bersetuju bahawa pilihan pegangan agama adalah hak individu seseorang apabila mencapai satu peringkat umur.

Kata Hasan lagi, Anwar juga secara terbuka telah menyokong penggunaan kalimah Allah oleh penganut lain, yang mana menurutnya pandangan sedemikian amat bertentangan dengan titah Sultan Selangor dan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan serta negeri.

Mereka juga mendakwa Anwar dalam ucapannya di luar negara telah menyentuh persoalan agama serta dengan lantang mempamerkan sikap liberal terhadap amalan songsang seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan gerakan hak asasi manusia.

Tambahnya lagi, Anwar juga didakwa terlibat secara langsung dengan gerakan Yahudi antarabangsa di Amerika dan Eropah melalui pandangannya berkenaan penyelesaian dua negara.

Hasan memberitahu, NGO-NGO itu akan turun selepas 11 Mac bagi membuat penerangan kepada penduduk di Kajang tentang Anwar serta mengajak pengundi menolak beliau darpada dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka.

"Kita akan senaraikan...kita akan sediakan satu penjadualan untuk menjadualkan di mana dan pukul berapa, siapa terlibat, kampung mana, pusat daerah mengundi (PDM) yang mana dan akan kita rencanakan nanti selepas 11 hari bulan," jelasnya.

Beliau juga memberitahu setakat ini NGO-NGO itu telah pun menyampaikan mesej menerusi media-media sosial terutama sekali laman Twitter.

Kata Hasan, mereka meramalkan sekiranya Anwar memenangi pilihan raya kecil tersebut dan dipilih menjadi Menteri Besar Selangor, ia akan menyebabkan timbulnya pergolakan dan pertembungan di antara rakyat negeri itu.

Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Pengerusi Yayasan Murni Akidah, Datuk Aidit Ghazali; Timbalan Pengerusi PEMBELA, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin dan Pengerusi Muslim UPRO, Azril Mohd Amin.

Pilihan raya kecil DUN N25 Kajang akan diadakan setelah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikhnya pada 23 Mac 2014, manakala hari penamaan calon ditetapkan 11 Mac.

Pakatan Rakyat telah menamakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon mereka untuk bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut, manakala Barisan Nasional (BN) menamakan naib preisden MCA Chew Mei Fun sebagai calon mereka.

Turut melahirkan hasrat bertanding sebagai calon bebas dalam pertandingan tiga penjuru itu ialah bekas presiden parti KITA yang juga bekas menteri kabinet, Datuk Zaid Ibrahim.