Perdana Menteri berkata, langkah tersebut sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk menarik minat dan memberikan galakan kepada anak-anak muda dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).
Menerusi inisiatif tersebut, Anwar berkata saintis-saintis mahir boleh mempamerkan penemuan-penemuan baharu dalam bidang sains, digital, mahupun kecerdasan Bbuatan (AI).
"Saya agak keras dengan pandangan saya bahawa dalam usaha inovasi, pengkomersialan, dan dalam soal mengangkat martabat negara dari segi digital atau AI, jangan kita izinkan berlaku kesenjangan yang lebih melebar.
"Sekarang ini sudah kita runsing dengan keadaan yang berbeza antara golongan elit kota dengan miskin kota dan desa. Jadi program kita itu tentunya ada fokus masing-masing," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2024, di ibu negara, hari ini.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri juga berharap Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) boleh memanfaatkan kepakaran mereka untuk memupuk minat dalam kalangan murid sekolah dan mahasiswa baharu di peringkat universiti.
"(Berkongsi) tentang apa yang mereka lakukan, faedah dan penemuan baharu yang menakjubkan dengan cara menarik perhatian mereka dengan keperluan sains, matematik, dan bidang kejuruteraan.
"Ini kerana bidang digitalisasi (misalnya) memerlukan persiapan awal dalam bidang STEM dan kejuruteraan," katanya lagi.
Menurut Laporan Indeks Inovasi Global (GII) 2023, Malaysia mengekalkan kedudukan pada tangga ke-36 daripada 132 buah negara dengan peningkatan skor keseluruhan kepada 40.9 berbanding tahun 2022 (38.7).
Ia sekali gus menjadikan Malaysia negara kedua paling inovatif selepas China dalam kalangan 36 negara berpendapatan menengah tinggi.