KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada pelumba berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom, atas aksinya pada final acara keirin lelaki Sukan Olimpik Paris 2024, hari ini.

"Teruskan berjuang. Moga melakar kejayaan satu hari nanti," katanya menerusi hantaran di X.

Muhammad Shah Firdaus disingkirkan pada final acara keirin lelaki Sukan Olimpik Paris 2024, meskipun menamatkan cabaran di kedudukan keempat, hari ini.


Pada aksi itu, atlet berusia 28 tahun berasal dari Muar itu yang sedang memecut untuk menuju garisan penamat, dirempuh pelumba Jepun Shinji Nakano yang menyebabkan pelumba Great Britain Jack Carlin hilang kawalan sekali gus terjatuh, semasa pusingan terakhir di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome.

Meskipun keputusan pada mulanya menunjukkan Muhammad Shah Firdaus menamatkan saingan pada kedudukan keempat, keputusan itu tiba-tiba berubah kepada disingkirkan (relegated) oleh laman sesawang rasmi temasya tersebut, menjadikan beliau tercampak ke kedudukan keenam.

Pingat emas acara itu milik pelumba Belanda Harry Lavraysen diikuti perak dan gangsa masing-masing milik Matthew Richardson dari Australia dan rakan senegaranya Matthew Glaetzer.

Malaysia secara rasmi menamatkan kempen Olimpik Paris dengan dua gangsa masing-masing menerusi perseorangan profesional lelaki negara Lee Zii Jia dan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara badminton.

-- BERNAMA