KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan akan berlaku sekali lagi rombakan Kabinet di bawah pentadbirannya.

Menjawab spekulasi tersebut, Anwar yang juga Menteri Kewangan sebaliknya menegaskan, beliau 'tidak mendengar' mengenai perkara tersebut.

"Itulah baru saya diberitahu (mengenai dakwaan rombakan Kabinet). Saya tak dengar lagi. Siapa nak tolong rombakan Kabinet? Siapa nak tolong?

"Saya tak dengar... serius, saya tak dengar," katanya menjawab pertanyaan media susulan laporan mendakwa rombakan Jemaah Menteri dijangka berlaku sekurang-kurangnya menjelang akhir bulan ini.

Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2024, di ibu negara, hari ini.

Menurut laporan FMT yang memetik satu sumber berpengaruh PKR mendakwa, seorang menteri daripada parti itu mungkin akan dipindahkan ke kementerian lain atau digugurkan daripada Jemaah Menteri.

Portal itu turut melaporkan satu lagi sumber daripada DAP mendakwa terdapat perbincangan tentang rombakan Jemaah Menteri yang mungkin berlaku menjelang akhir Ogos, dengan beberapa timbalan menteri dijangka dinaikkan pangkat ke jawatan menteri.

Pada Disember tahun lalu, Anwar mengumumkan rombakan Kabinet buat kali pertama selepas setahun menerajui pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Perdana Menteri berkata, rombakan tersebut bertujuan membuat penyesuaian dalam memenuhi tuntutan dan keadaan semasa.