PUTRAJAYA: Menggalas tanggungjawab dengan menitikberatkan konsep tatakelola yang baik akan menjadi agenda penting dalam mengemudi perkhidmatan awam.

Menurut Ketua Setiausaha Negara (KSN) baharu, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar, agenda itu selaras dengan amanat yang dijunjung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Seperti mana (agenda) yang dibawa oleh Perdana Menteri, beliau amat pentingkan tatakelola.

"Jadi itu merupakan satu agenda penting saya dalam pentadbiran (sebagai KSN). Saya yakin dengan jentera kerajaan yang ada, kita dapat memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat.

"Saya juga yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri, Malaysia akan bergerak ke arah yang lebih cemerlang," ujarnya selepas mengimbas kad perakam masa di Putrajaya pada Isnin bagi memulakan tugasnya sebagai KSN yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Dalam masa sama, Shamsul Azri berharap penjawat awam memberikan taat setia dan perkhidmatan yang cemerlang bagi memperkasa agenda pembangunan negara.

Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan, pelantikan Shamsul Azri mendapat perkenanan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Pelantikan itu adalah bagi menggantikan Tan Sri Mohd Zuki Ali yang akan tamat kontrak perkhidmatannya pada 10 Ogos lalu.

Shamsul Azri, 55, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Pentadbiran Perniagaan) dari University of Tulsa Oklahoma, Amerika Syarikat.'

Beliau juga menerima pendedahan dengan beberapa institusi antarabangsa antaranya University of Cambridge, United Kingdom dan European Institute of Business Administration (INSEAD).

Shamsul Azri berpengalaman selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam, dengan pernah bertugas di Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan juga Pentadbiran Kerajaan Negeri.

Jawatan terakhir disandang beliau ialah Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).