Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 hari ini yang dipengerusikan beliau dan turut dihadiri anggota Jemaah Menteri serta semua agensi berkaitan.
"Persiapan rapi ini amat penting bagi memastikan Malaysia dapat mengetengahkan kepimpinan ASEAN yang berpandangan ke hadapan dalam menangani cabaran di rantau ini dan di peringkat global," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Pada mesyuarat itu, beliau turut menegaskan keperluan untuk semua pihak melakukan persediaan yang rapi bagi memastikan persidangan tersebut dapat berlangsung dengan sempurna.
Anwar berkata penyelarasan peranan dan tanggungjawab setiap kementerian, agensi serta entiti kerajaan perlu berada di tahap terbaik selain memberikan kerjasama menyeluruh.
"Ini adalah mesyuarat pertama selepas Malaysia menerima Kepengerusian ASEAN di Laos Jumaat lalu bertujuan memperhalusi tahap persediaan negara menjelang permulaan tugas Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN secara rasmi pada 1 Jan 2025.
"Tumpuan khusus adalah memperkemas dan mempertingkat persiapan logistik bagi menjaga imej Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN," katanya.
Laos secara rasmi menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia pada Majlis Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 yang berlangsung bersama dengan Sidang-Sidang Kemuncak berkaitan dan Majlis Penyerahan Jawatan Pengerusi ASEAN di Vientiane.
Pada majlis itu, Anwar menerima tukul Kepengerusian ASEAN daripada Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone sebagai simbolik penyerahan jawatan berkenaan.
Perdana Menteri turut memperkenal logo dan tema untuk Pengerusi ASEAN Malaysia 2025: 'Keterangkuman dan Kelestarian' pada majlis itu.
-- BERNAMA