KUALA LUMPUR: Setiap individu terutama penjawat awam perlu amanah dalam setiap tindakan agar tidak terjebak dalam kancah rasuah dan salah guna kuasa.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, nilai integriti penting kerana ia tunjang sistem pentadbiran negara yang akan menentukan masa depan rakyat.

"Ia bermula di rumah, diperkuatkan di tempat kerja dan meluas ke peringkat negara. Dalam institusi keluarga, nilai integriti jadi panduan untuk didik generasi baru menjadi individu yang bertanggungjawab.

"Dalam masyarakat pula, integriti mencipta kepercayaan dan perpaduan. Apabila setiap individu bertindak dengan jujur dan adil, kita dapat kurangkan gejala sosial seperti rasuah dan penyelewengan.

"Pada peringkat negara, integriti adalah tunjang kepada sistem tatakelola baik yang memastikan setiap keputusan diambil untuk kebaikan rakyat, bukan kepentingan peribadi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Dua Dekad Institut Integriti Malaysia (IIM), di sini, pada Khamis.

Selaku Pengerusi IIM, beliau berpandangan, setiap cabaran yang ditempuh IIM sebenarnya telah mencipta banyak kejayaan sehingga menjadi inspirasi kepada semua pihak.

Jelas beliau, langkah IIM yang melancarkan pelan strategik dengan empat teras utama baru-baru ini adalah realistik dalam mencapai matlamat berkenaan.

"Ia merangkumi peranan IIM sebagai badan pemikiran perdana yang unggul di peringkat nasional dan antarabangsa serta memperkukuh kerjasama strategik untuk memperluas amalan terbaik integriti.

"Kita juga yakin lIM menggalas peranan sebagai organisasi utama dalam pendidikan serta advokasi integriti dan melestarikan tatakelola yang mampan," ujarnya.