KANGAR: Seorang nelayan yang melecur teruk dalam kejadian bot terbakar di pelantar ikan Kampung Tanah Baru, Kuala Perlis pada Khamis lalu meninggal dunia pada Isnin.

Nur Azman Abu, 45, yang parah dan mengalami luka lecur hampir 88 peratus badannya dalam kejadian itu, disahkan meninggal dunia jam 8 pagi di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, mangsa ditidurkan sejak Jumaat lalu selepas dimasukkan ke hospital berkenaan.

“Punca kematian adalah disebabkan luka lecur yang parah di keseluruhan badan mangsa.

“Seorang lagi rakan mangsa yang turut terbabit dalam kejadian itu masih lagi dirawat di HTF untuk rawatan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam kejadian jam 11.55 malam pada Khamis lalu, Nur Azman dan rakannya Mohdmad Bakri Idham, 54, melecur disambar api selepas bot fiber yang dinaiki terbakar di pelantar ikan Kampung Tanah Baru, Kuala Perlis.

Ketika kejadian, mangsa sedang bersiap untuk ke laut menangkap ikan. Letupan dipercayai berlaku ketika mangsa membuka penutup ruangan bateri.

Api daripada letupan berkenaan menyambar kedua-dua mangsa sebelum mereka dihantar ke HTF untuk menerima rawatan.