Seorang remaja berusia 17 tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot ketika memasang pukat kira-kira 17 batu nautika dari persisiran pantai Pulau Bunting.

Mangsa, Mohamad Afis Mohamad Jaafar bersama enam rakannya turun ke laut sekitar jam 5 pagi dan insiden dilaporkan berlaku sekitar jam 8 pagi.

Ibu mangsa Minah Mohd Hussin, 42, yang ditemui di lokasi kejadian, berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpa anaknya selepas dimaklumkan salah seorang rakan mangsa.

Beberapa hari sebelum kejadian, Minah mengalami mimpi abang kepada mangsa jatuh ke dalam laut dan sejak itu hatinya sering berdebar-debar, namun dia tetap berharap anaknya segera ditemui dalam keadaan selamat.

"Kawan dia telefon saya dan berkata anak saya jatuh ke laut. Saya pun ke pelantar untuk melihat sama ada kejadian itu benar atau tidak. Mereka berkata bukan abang yang jatuh tetapi adik dia yang jatuh. Ya Allah, saya tidak tahu hendak buat apa lagi," kata Minah.

Minah menyifatkan anaknya yang merupakan anak kedua dari lima beradik seorang yang bertanggungjawab dan menanggung keluarga dengan hasil pendapatan mencari ikan sejak berhenti sekolah pada usia 15 tahun.

Operasi menyelamat masih diteruskan Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan kekuatan 9 anggota dan turut dibantu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, APMM.