SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memohon pertimbangan Selangor bagi menghantar sisa pepejal ke tapak pelupusan sampah di Sepang untuk sementara waktu berikutan penutupan Tapak Pelupusan Sampah Ladang Tanah Merah, Port Dickson, sejak 29 Ogos lepas.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata pihaknya sudah berbincang dengan Selangor mengenai perkara itu dan berharap ia dapat dilaksanakan dalam masa terdekat bagi mengelakkan kesulitan kepada orang awam.

"Ini kerana untuk ke tapak pelupusan sampah di Jelebu dan Kuala Pilah agak sukar untuk bilangan sisa yang besar disebabkan ia berada di kawasan tinggi. Penduduk di kawasan sekitar juga tidak berpuas hati kerana memberi kesan kepada ternakan dan sebagainya.

"Ia bukan kerana unsur kecuaian tapi kelewatan insinerator beroperasi (di Ladang Tanah Merah), tempat buangan sampah tidak dikawal dengan penyediaan kolam takungan yang baik, jadi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu lakukan tindakan segera," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco, di sini, hari ini.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri Teo Kok Seong berkata Tapak Pelupusan Sampah Ladang Tanah Merah itu ditutup sementara berikutan kolam takungan sisa pepejal di situ pecah.

Beliau berkata keadaan itu menyebabkan air larut resap dari tempat pembuangan sampah itu memasuki sungai berdekatan sekali gus memberi kesan kepada orang awam dan alam sekitar.

Dalam pada itu, Aminuddin berharap Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) memperketat pelesenan dan peraturan operasi banana boat bagi mengelakkan insiden pelanggaran bot sehingga menjejaskan keselamatan pengunjung yang mana videonya tular di laman sosial sejak semalam.

Video berdurasi 25 saat itu memaparkan sebuah bot yang menarik sekurang-kurangnya lima penumpang menaiki Great Big Marble secara tiba-tiba dilanggar bot lain dari arah bertentangan dalam kejadian di Pantai Batu 8, Port Dickson.Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Aidi Sham Mohamed, bagaimanapun mengesahkan tiada mangsa yang mengalami kecederaan dalam kejadian terbabit dan perkara tersebut juga telah diselesaikan secara baik dengan pengusaha bot.

-- BERNAMA