Kedua-dua lelaki berusia 58 dan 51 tahun itu ditahan kerana disyaki cuba menghidupkan kembali ajaran Aurad Muhammadiyah yang difatwakan haram di Negeri Sembilan pada 2016.
Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, mereka telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah, kira-kira jam 9 malam pada Sabtu.
Menurutnya, penahanan mereka susulan pemeriksaan dan serbuan yang dilakukan di madrasah terbabit pada 6 September lalu.
"Pada awalnya kita siasat mereka kerana menguruskan madrasah tersebut secara tidak berdaftar, namun berdasarkan siasatan dan keterangan saksi didapati mereka juga cuba menghidupkan semula ajaran Aurad Muhammadiyah yang telah difatwakan haram oleh Jabatan Mufti Negeri pada 2016.
"Sehubungan itu kita telah membuat permohonan jaminan di Mahkamah Rendah Syariah bagi tujuan melengkapkan kertas siasatan sekali gus memastikan mereka hadir ke mahkamah pada tarikh sebutan akan datang," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurutnya, mahkamah memutuskan kedua-dua mereka dilepaskan dengan bon jaminan dan diperintahkan membayar wang jaminan RM2,000 setiap seorang dengan dua penjamin warganegara dan yang bermastautin di Negeri Sembilan.
Ujarnya, ia selepas mahkamah membenarkan permohonan pengawai penguat kuasa JHEAINS yang dibuat di bawah peruntukan Seksyen 19(3) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Sembilan 2003.
"Sebutan semula bagi pertuduhan ditetapkan 12 November depan," katanya.
Sementara itu Pengarah JHEAINS, Mohd Asri Abdullah mengesahkan penahanan suspek dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 22 Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Sembilan 1996 dan Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 (Pindaan 2019).
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan madrasah berkenaan diperiksa JHEAINS selepas pihaknya menerima maklumat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkaitan laporan perbuatan liwat membabitkan penghuni di situ.
Hasil semakan mendapati, madrasah berkenaan tidak didaftarkan dengan JHEAINS bagi menjalankan aktiviti pembelajaran agama Islam
Pada minggu ini juga, empat pembantu pengajar di madrasah berkenaan telah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan amang seksual.
Tertuduh Muhammad Habib Noh Mohd Zairi, 21 Muhammad Khunnais Fathie Khabil, 20 Ahmad Nadzful Izham Azizan, 22 dan Muhammad Fawzun Azim Ismail, 20 masing-masing berdepan lima, enam, tiga dan enam pertuduhan bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan. - Sinar Harian