MALDIVES, sebuah negara yang terkenal dengan keindahan alam semulajadinya.

Bahkan, ada yang melabel negara itu sebagai syurga dunia dek kerana keindahan, kecantikan alam di sana.

Pasti ramai memasang impian untuk bercuti di sana, penulis pun tidak terkecuali.

Jadi, sebelum benar-benar jejak kaki ke sana, apa kata kita teroka dulu beberapa fakta yang mungkin tidak diketahui sebelum ini melibatkan negara terkecil di Asia itu.


TERDAPAT lebih kurang 1200 pulau di Maldives. Kira-kira 800 daripadanya masih tidak berpenghuni, 200 pulau dihuni, dengan sekitar 200 hostel, hotel dan resort. Pulau-pulau selebihnya digunakan untuk lapangan terbang, pertanian, piknik, aset kerajaan, aktiviti industri dan juga penjara!

BENDERA Maldives mempunyai pelbagai simbol dan warna simbolik: Hijau untuk keamanan dan Pohon Kelapa nasional, Bulan Sabit Putih untuk Islam dan Merah melambangkan perjuangan mereka untuk kemerdekaan.

Bendera Maldives.

POKOK kelapa adalah salah satu lambang negara itu. Pokok kelapa dapat tumbuh hingga 30 meter dan mencapai usia 100 tahun. Kayu mereka sangat kukuh dan banyak digunakan untuk membina Dhoni (bot tradisional rakyat Maldives)

MALDIVES mempunyai beberapa pulau terkecil di Dunia dengan ukuran tidak lebih dari beberapa meter persegi. Pulau terbesar hampir mencapai enam kilometer.

NEGARA itu juga adalah negara terendah di dunia dengan purata hanya 1.5 meter dari aras laut.

KEPULAUAN Maldives berasal dari batu karang. Pasirnya yang luar biasa berwarna putih dan sangat halus. Pantai dari batu karang jarang dijumpai, mereka mewakili kurang dari 5 peratus pantai di dunia, selebihnya kebanyakannya terbuat daripada kuarza.

Pasir di kepulauan ini sangat halus dan putih, menjadikan suasananya begitu indah dan luar biasa.

MEMAKAI sunblock sangatlah penting di negara itu ketika anda bercuti di sana. Beriklim Khatulistiwa, sama seperti Malaysia, sudah pasti anda tahu cuacanya bagaimana malah negara itu juga dikatakan menerima sinaran matahari yang sangat banyak.

PULAU di Maldives, kalau 10 tahun lepas lain, 10 tahun akan datang mungkin lain pula jadinya kerana pulau di sini berubah mengikut fenomena alam. Pasir sentiasa berubah dan ‘berpindah’ dan dibawa semula ke situ ketika musim tengkujuh. Hasilnya, beberapa tebing pasir hilang dan beberapa yang baru pula muncul.

WHALE SHARK, ikan terbesar di dunia itu sebenarnya mempunyai tempat perlindungan di Maldives - tiga tempat secara tepatnya. Jadi kalau bernasib baik, mungkin anda boleh melihat ikan itu kerana ia dapat ditemui sepanjang tahun di sana.

Ikan terbesar di dunia itu sebenarnya mempunyai tempat perlindungan di Maldives - tiga tempat secara tepatnya.

WAJAH penduduk Maldives begitu ketara nampak ada campuran atau kacukan kerana negara itu pada dulunya adalah persimpangan jalan perdagangan kuno. Banyak wajah Maldivian (rakyat Maldives) hari ini adalah hasil gabungan peradaban: India, Afrika, Eropah, Arab dan Asia.

Campuran atau kacukan wajah boleh dilihat di sana kerana negara itu pada dulunya adalah persimpangan jalan perdagangan kuno.

BENTUK perahu tradisional Maldivia yang terkenal, Dhoni, mungkin terinspirasi dari kapal pelayaran Arab kuno, yang biasanya digunakan sebagai kapal dagang di Lautan Hindi sekitar abad ke-11.

MALDIVIAN biasa membina rumah mereka menggunakan terumbu karang. Rumah tradisional ini sekarang dilarang kerana Terumbu Karang dilindungi di seluruh dunia. Banyak rumah karang masih dapat dilihat di Pulau Male.
 
Meneroka keindahan alam seperti ini adalah antara tarikan pelancong ke Maldives.

MUZIK tradisional berasaskan drum, Bodu Beru (bererti gendang besar) adalah simbolik peringatan hubungan panjang Maldives dengan Afrika Timur beberapa abad yang lalu. Muzik Bodu Beru sangat berirama dan rancak didengar.

MEMBERI makan kepada ikan semasa Snorkeling, di Maldives atau di tempat lain di dunia, berbahaya buat hidupan laut. Makanan kita bukan sebahagian daripada ekosistem mereka dan pastinya tidak disesuaikan dengan sistem pencernaan mereka.



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !