NEW DELHI: India dan Maldives mengucapkan tahniah kepada Muhammad Yunus, yang dilantik sebagai ketua kerajaan sementara Bangladesh.

Presiden Bangladesh, Mohammed Shahabuddin memimpin upacara angkat sumpah Yunus, 84, yang kini mengetuai Kabinet sementara yang terdiri daripada 16 anggota.

"Sebagai rakan lama dan sekutu rapat, Maldives berharap agar rakyat Bangladesh menikmati perpaduan, keamanan dan kemakmuran di bawah kepimpinan beliau," kata Presiden Maldives Mohamed Muizzu.

Tugas utama Yunus kini adalah mengembalikan kestabilan negara selepas pemberontakan pimpinan pelajar hingga memaksa Sheikh Hasina meletak jawatan dan melarikan diri ke India pada 5 Ogos lalu.

Bekas Perdana Menteri itu masih berada di India walaupun terdapat laporan dari media India yang menyatakan bahawa beliau sedang dalam perjalanan ke London selepas meninggalkan Dhaka.

Pentadbiran baharu ini turut merangkumi wakil daripada gerakan Pelajar Menentang Diskriminasi, yang memainkan peranan penting dalam menggulingkan pemerintahan Hasina selama 15 tahun.

Perdana Menteri India Narendra Modi turut mengucapkan tahniah kepada Yunus.

"Ucapan tahniah saya kepada Profesor Muhammad Yunus atas pelantikannya. India akan terus komited untuk bekerjasama dengan Bangladesh dalam mencapai aspirasi bersama rakyat kedua-dua negara untuk keamanan, keselamatan dan pembangunan," katanya.

Yunus merupakan pengkritik lantang terhadap pemerintahan Hasina, berada di Paris ketika protes besar-besaran itu berlangsung.

Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal di Dhaka pada Khamis, Yunus memuji keberanian golongan muda yang menurutnya telah melindungi negara dan "memulih semula" Bangladesh.

Pada Januari tahun ini, Hasina memenangi penggal keempat berturut-turut sebagai Perdana Menteri dalam pilihan raya kontroversi, dicemari tuduhan penipuan dan diboikot oleh Parti Nasionalis Bangladesh yang menjadi pembangkang utama.

Hasina dituduh mengamalkan pemerintahan autoritarian, rasuah dan melemahkan institusi-institusi negara demi memastikan partinya kekal berkuasa.

-- BERNAMA