KUALA LUMPUR: Menu nasi kandar seharusnya digazetkan sebagai makanan warisan negara, sama seperti nasi dagang, teh tarik, serta roti canai.


Ringkasan AI
  • Adly Rizal, penganjur bersama Nasi Kandaq Fest 2.0, mencadangkan agar nasi kandar diiktiraf sebagai makanan warisan negara Malaysia, sama seperti nasi dagang, teh tarik, dan roti canai, untuk mengelakkan tuntutan dari negara lain.
  • Adly menegaskan bahawa nasi kandar berasal dari Malaysia, dengan restoran Hameediyah sebagai yang asli. Beliau bangga kerana nasi kandar diakui enak oleh orang lain, walaupun ada yang cuba menuntutnya sebagai milik mereka.
  • Adly juga membalas kenyataan seorang cef dari Indonesia yang mendakwa nasi kandar Malaysia 'berpasir'. Beliau menekankan pentingnya saling menghormati antara negara jiran dan mempertikaikan kebenaran dakwaan tersebut.


Penganjur bersama Nasi Kandaq Fest 2.0, Adly Rizal berkata, tindakan ini perlu dilakukan segera sebelum pihak lain menuntut menjadikan juadah itu sebagai masakan warisan negara mereka.

“Macam mana pun, nasi kandar memang datang dari Malaysia, dan di Hameediyah lah dia punya original.

“Tapi saya amat berbangga kerana makanan nasi kandar ini so good, orang lain boleh claim, orang lain boleh kata best.

“Bukan kita kata nasi kandar sahaja, banyak makanan kita orang lain claim.

"Sebab apa kami buat festival dengan Sunway Putra Mall, kami nak tunjuk kepada rakyat Malaysia, nasi kandar patut jadi warisan dan kita buktikan ke dunia, ini milik kita,” katanya.

Adly berkata demikian ketika ditemui media selepas pelancaran Nasi Kandaq Fest 2.0 di Sunway Putra Mall, di sini, pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Adly mempersoalkan kenyataan bahawa nasi kandar Malaysia ‘berpasir’ oleh seorang cef dari Indonesia. 

Jelas Adly, sebagai negara yang hidup berjiran, setiap daripada kita perlu hormat menghormati terhadap juadah atau menu asal dari negara masing-masing.

“Sebab kita berjiran, kita hormat menghormati, betul ke kita pernah makan nasi kandaq ada pasir? Atau ini hanya satu media play? Kita pun tak tahu.

"Itulah boleh saya kata secara hormat, tak nak berkelahi,” kata Adly merujuk kepada kenyataan pemenang Masterchef Indonesia musim kelima, Fani baru-baru ini.

Dakwaan tersebut telah mengundang pelbagai reaksi netizen apabila dia memperkenalkan juadah Malaysia di restoran miliknya yang difahamkan baru dibuka di Indonesia.

Kenyataan itu menjadi bualan hangat kalangan netizen susulan perbandingan rasa nasi kandar di Malaysia dengan nasi kandar yang dijual di restoran miliknya.