KUALA LUMPUR: Nasi Kandaq Festival 2.0 kembali lagi bermula 21 hingga 22 September 2024 bertempat di pekarangan lobi utama Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur.

Festival tahun ini dianjurkan laman web penggemar makanan FriedChillies dengan kerjasama Sunway Putra Mall dan Nasi Kandaq Hunters akan membawa pengunjung mengimbau nostalgia zaman kegemilangan nasi kandar pada tahun 70-an.

Festival Nasi Kandaq 2.0 menyaksikan makanan ringkas golongan pekerja kolar biru melalui transisi menjadi juadah nasional yang digemari ramai.

Ketua Pegawai Eksekutif FriedChillies, Adly Rizal memaklumkan sebanyak 11 penjual nasi kandar utama negara menyertai festival Nasi Kandar 2.0 pada tahun ini.

“Tahun lepas lebih 20,000 penggemar nasi kandar berkunjung ke festival Nasi Kandaq menikmati dan meraikan 'lejen-lejen' utama nasi kandar negara di bawah satu bumbung,” katanya.

Tambah Adly, setiap restoran nasi kandar tampil dengan juadah kari mantap dan lauk-pauk istimewa mereka.

“Tahun ini kami ada dua 'lejen' dari Ipoh bersama 'lejen-lejen' dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor.

“Setiap tahun kami mahu penggemar makanan mengalami sesuatu yang baru di acara kami,” tambah Adly lagi.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Kanan Sunway Putra Mall, Danny Lee memaklumkan pihaknya komited mempersembahkan acara unik kepada pelbagai lapisan masyarakat.

“Selepas beberapa acara bertemakan makanan pada 2023, kami sedar pengunjung kami sangat menantikan acara begini dan keterujaan ini selari dengan misi kami untuk mewujudkan sebuah ruang bagi perhimpunan dan perayaan,” katanya.

Antara restoran nasi kandar yang menyertai festival pada tahun ini ialah Nasi Ganja Yong Suan (Ipoh), Restoran Yusuf (Relau), Nasi Kandar Kudu (KL), LC (Line Clear) Restoran (KL), Hameediyah (KL/Pulau Pinang).

Nasi Kandar Talam (JB), Nasi Kandar Pelita Chai Leng Park (Pulau Pinang), Restoran Majeeda (Ipoh), Restoran Jamal Mohamad atau Nasi Kandar Ketapang (Pulau Pinang), Nasi Kandar Chef (Shah Alam), dan Nasi Kandar Express (Southville, Bangi)

Pelbagai aktiviti termasuk pertunjukan cendol teh tarik, demonstrasi memasak, pertandingan makan, persembahan muzik era 70-an secara langsung, dan banyak lagi.

Jom beramai-ramai datang ke Nasi Kandar Festival 2.0, dan bersedia untuk berpesta! (Juga jangan lupa pakai seluar longgar).