MEKAH: Usah bimbang lagi jika terlebih muatan atau barangan apabila pulang dari mengerjakan haji di Tanah Suci.


Ringkasan AI
  • Penghantaran Barang Haji: TH menyediakan kemudahan penghantaran barang haji melalui Pos Malaysia dan FGV Transport Services.
  • Caj Penghantaran: Caj bergantung kepada destinasi, kekal stabil selama tiga tahun.
  • Barang yang Dihantar dan Tarikh Akhir Penghantaran: Jemaah mempunyai tarikh akhir penghantaran tertentu untuk urusan penghantaran.


Ini kerana kurma, jubah, sejadah, al-Quran atau cenderahati boleh dikirim dari Tanah Suci melalui perkhidmatan Pos Laju, syarikat kurier Pos Malaysia Bhd.

Ia antara kemudahan yang disediakan Lembaga Tabung Haji (TH) khusus untuk jemaah haji Malaysia sama ada di sektor Mekah atau Madinah.

Menurut Pengurus Khidmat Luar Ibu Pejabat TH, Mekah, Zahari Zainal, dua syarikat diluluskan oleh TH untuk mengendalikan urusan penghantaran kiriman bagasi jemaah haji dari Tanah Suci.

Dua syarikat itu ialah Pos Malaysia Bhd melalui kurier Pos Laju dan FGV Transport Services Sdn Bhd.

Untuk rekod Unit Khidmat Luar bertanggungjawab membuat pemantauan ke atas syarikat perkhidmatan penghantaran bagasi bagi memastikan kemudahan untuk jemaah dijayakan sebaik mungkin.

"Perkhidmatan ini banyak memudahkan jemaah. Mereka tidak perlu risau kena bayar lebih sebab terlebih kilogram bila pulang dari mengerjakan haji nanti. Ia hanya ambil masa 14 hingga 21 hari bekerja untuk sampai ke alamat yang dikirim jemaah.

"Tambahan pula barangan yang dikirim dilindungi insurans,” katanya yang ditemui petugas media di Mekah, semalam.

Menurut Zahari, caj yang dikenakan untuk kiriman ialah sebanyak 18 Saudi Riyal (SAR) bagi setiap 1 kilogram untuk Semenanjung dan SAR 23 untuk kiriman Sabah dan Sarawak.

"Jumlah caj ini tidak berubah, kekal seperti tahun sebelumnya di mana kita terikat dengan kontrak selama 3 tahun untuk tidak menaikkan harganya,” ujar beliau.

Dalam pada itu Zahari berkata, sepanjang perkhidmatan kiriman bagasi dari Mekah atau Madinah beroperasi, belum ada aduan atau kes barangan tidak sampai ke alamat yang dikirim.

"Kami akan pastikan jemaah dijamin untuk mereka menerima barangan masing. Itu sebabnya maklumat pengirim dan penerima perlu lengkap supaya tidak berlaku sebarang maslah di kemudian hari,“ ujar beliau.

Ditanya apa barangan yang biasa dipos jemaah, beliau berkata, paling banyak ialah kurma, kacang, coklat, sejadah dan jubah.

"Terdapat juga kiriman al-Quran, biasanya dikirim mereka (jemaah) yang tinggal di pondok atau rumah mengaji,” tambah Zahari.

Sementara itu Ketua Lokasi Pos Laju di Abraj Jenadriah, Mekah, Shariff Mahmud berkata, barangan yang dikirim awal oleh jemaah kesemuanya sudah selamat sampai ke alamat dikirim.

"Yang buat kiriman awal, sejak hari pertama operasi awal Mei lepas, semua sudah sampai, kita boleh lihat dan pantau daripada nombor jejak (tracking number),” katanya.

Beliau berkata, setakat ini paling berat jemaah pernah hantar ialah 40 kilogram di mana kebanyakannya mengambil peluamg mengirim kurma.

“Purata sehari kiriman bagasi adalah sekitar 2.5 hingga 3 tan, mungkin lebih selepas ini apabila makin ramai jemaah masuk ke Mekah dan Madinah,” ujarnya.

Menurut Shariff, jika di Madinah, jemaah  haji mempunyai masa sehingga 19 Julai 2024 untuk urusan kiriman.

Manakala di Mekah pula tarikh akhir membuat kiriman ialah pada 17 Julai 2024.

Daripada kuota rasmi jemaah haji Malaysia seramai 31,600 orang, lebih separuh sudah tiba di Tanah Suci secara berperingkat sejak 9 Mei lepas.

Penerbangan terakhir dari Malaysia ke Arab Saudi ialah pada 9 Jun ini.