BALI: Pengangkutan darat, udara dan air serta segala bentuk telekomunikasi atau penyiaran akan dihentikan selama sehari di Bali, pada 29 Mac.

Penutupan ini bagi menghormati Hari Nyepi atau Hari Bersenyap yang merupakan perayaan agama Hindu, diraikan mengikut kalendar Bali di Indonesia.

Hanya kenderaan kecemasan seperti ambulans dan trak bomba akan dibenarkan beroperasi seperti biasa di bawah pengawasan pihak berkuasa.

Pengurus Besar Kawalan Trafik Udara, AirNav Indonesia bahagian Denpasar, Suryadi Joko Wiratmo, menjelaskan pihaknya bagaimanapun akan terus memantau pesawat yang mungkin melalui ruang udara Bali pada Hari Nyepi.

"Seramai 30 orang kakitangan akan tetap bertugas untuk memantau ruang udara, misalnya penerbangan antara Banyuwangi dan Surabaya ke Lombok," katanya.

Dijangka jadual penerbangan meningkat mendadak pada 27 hingga 28 Mac memandangkan umat Islam berpusu-pusu pulang ke kampung halaman sempena Aildilfitri sebelum ketibaan Hari Nyepi.

Manakala pengangkutan feri antara Kepulauan Jawa dan Bali akan ditutup selama tiga hari, bermula 6 pagi waktu tempatan pada 28 Mac hingga 6 pagi, 30 Mac.

Selain itu, Tol Bali Mandara akan ditutup selama 32 jam, bermula 11 malam pada 28 Mac hingga 7 pagi pada 30 Mac, sebagai tanda menghormati hari keramat tersebut.

Rata-rata penduduk tempatan merancang perjalanan lebih awal ke destinasi untuk mengelak kesesakan susulan penutupan Hari Nyepi.

Berikutan penutupan itu, infrastrutur telekomunikasi di Bali akan tergendala seketika dari 6 pagi waktu tempatan pada 29 Mac hingga 6 pagi hari berikutnya.