Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, pelaku tersebut tidak dibenarkan dibawa pulang ke negara asal selagi belum selesai menjalani hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah.
“Bentuk hukuman itu bergantung kepada jenis kesalahan. Kalau di Arab Saudi kesalahan bagi mencuri dikenakan hukuman potong tangan, maka kena potong tangan.
“Begitu juga bunuh. Kecuali mahkamah memberi kemaafan di atas sebab-sebab tertentu, (kalau tidak, perlu) terima hukuman itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Ujar Daud, jemaah Malaysia perlu tahu melakukan jenayah di luar negara terutamanya di kota suci Makkah sudah tentu kesannya adalah berdosa besar.
Menurutnya, ia kerana kawasan tersebut sepatutnya menjadi lokasi untuk umat Islam mendapat keberkatan dan mengumpul pahala berganda untuk akhirat kelak.
“Mereka yang melakukan jenayah (di sana), awal-awal lagi sudah berdosa besar.
“Al-Quran juga ada menyebut larangan, jangan membuat onar atau kejahatan di negara orang lain,” ujarnya.
Dalam pada itu, penyeludupan dan pengedaran dadah adalah salah satu daripada kesalahan yang boleh dijatuhi hukuman mati di Arab Saudi.
Menurut statistik AFP, jumlah keseluruhan hukuman mati yang dijalankan negara tersebut pada tahun ini membabitkan sekurang-kurangnya 106 pesalah.
Berdasarkan jumlah itu, tujuh daripada mereka yang menjalani hukuman mati adalah berkaitan kes dadah.
Pihak berkuasa Arab Saudi melaksanakan semula hukuman mati bagi kesalahan berkaitan dadah pada penghujung 2022 selepas ia dihentikan hampir tiga tahun.
Sepanjang 2023, hukuman mati dilaksanakan ke atas sekurang-kurangnya 170 orang, termasuk 33 individu yang dituduh melakukan jenayah berkaitan keganasan. - Sinar Harian