Fello Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, selagi dakwaan itu tidak dibuktikan, selagi itu mantan perdana menteri itu tidak boleh dituduh menjadi dalang di sebalik laporan berkenaan.
"Saya rasa tuduhan dalang ini perlu ada buktinya. Maksudnya Najib benar-benar tahu dan boleh memberi bukti kukuh Dr Mahathir adalah dalangnya.
"Jika ada bukti, tampil segera dan nyatakan kepada umum.
"Tuduhan Najib itu dilihat akan mencalarkan lagi imejnya dalam keadaannya sekarang sekali gus tidak membawa sebarang faedah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Teo mengulas status di laman Facebook Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Datuk Saifuddin Abdullah yang menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk segera menangkap Dr Mahathir.
Status di laman Facebook Saifuddin yang menggesa PDRM untuk segera menangkap Dr Mahathir - Sumber: Facebook Saifuddin
Ia rentetan dakwaan Najib di dalam laman Facebooknya baru-baru ini.
Perdana Menteri baru-baru ini menyangkal laporan WSJ yang mendakwa dana hampir AS$700 juta dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.
Najib turut mendakwa Dr Mahathir merupakan individu di sebalik laporan tersebut.
Katanya, tuduhan tidak berasas itu adalah susulan keengganannya untuk tunduk kepada Dr Mahathir kerana tidak mahu Malaysia diperintah melalui proksi.
Najib turut dilaporkan memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang ingin menjatuhkan kerajaan.
Mengulas perkembangan berasingan, Teo berkata penafian Najib dalam isu akaun banknya masih belum cukup kukuh.
"Penafian itu harus disekalikan dengan kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) dan AmBank. Tidak kekangan untuk bank berkenaan mengeluarkan kenyataan demi membesihkan nama Najib.
"Jika ada kekangan seperti Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (BAFIA) seperti yang didakwa, saya rasa boleh dikecualikan untuk isu ini," ujarnya.
Katanya lagi, kekangan BAFIA hanya akan merumitkan keadaan sekali gus menyebabkan imej Najib semakin tercalar.
"Dalam keadaan tertentu untuk menegakkan kebenaran dan atas budi bicara bank sendiri, rasanya boleh diketepikan kekangan itu.
"Jika tidak imej Najib akan menjadi tidak baik dan menambah syak wasangka dunia kepada Najib sendiri," jelasnya.
Sebelum ini, Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihak AmBank atau BNM tidak boleh mendedahkan wujud atau tidak nombor akaun yang didakwa WSJ adalah milik Najib.
Tegasnya, bank-bank berkenaan pelu merahsiakan maklumat kerana perkara tersebut tertakluk kepada undang-undang di bawah BAFIA.