Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa simpati beliau kepada keluarga seorang pelajar yang membunuh diri kerana tidak dapat menjawab soalan kertas peperiksaan Matematik Tambahan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

"Sedih baca mengenai pelajar Tingkatan 5 yang bunuh diri akibat kecewa tidak dapat jawab soalan SPM. Takziah kepada ibu pelajar tersebut atas kehilangannya.

"Saya kongsi perasaan sedih keluarga mangsa. Meskipun penting, peperiksaan bukan segalanya. Perkara paling utama adalah ikatan kekeluargaan," kata Najib dalam laman Twitter beliau hari ini.



Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun, yang juga seorang pelakon drama Cina tempatan, dipercayai membunuh diri di rumah keluarganya pada Rabu (25 Nov).

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Abdullah itu ditemui dalam keadaan tergantung di lehernya dengan menggunakan tali leher, di dalam biliknya di sebuah pangsapuri di Taman Jinjang.