KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hadir di mahkamah hari ini walaupun bekas Perdana Menteri itu sebelum ini dilapor dimasukkan ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

Ahli Parlimen Pekan itu yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang tiba sekitar 8.50 pagi di Mahkamah Tinggi di sini bagi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib, 69 tahun, dilihat memakai sut berwarna gelap dan diiringi pegawai penjara bagi menghadiri prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Turut kelihatan hadir, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Rosmah hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, bagi mengikuti sambungan perbicaraan berhubung kes 1MDB yang dihadapi Najib. --fotoBERNAMA

Semalam Astro AWANI melaporkan, pegawai Najib mengesahkan beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini.

Bagaimanapun, keadaan Najib dilapor stabil dan sedang melalui kesemua siasatan perubatan yang diperlukan.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.