Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir akan menyampaikan cenderahati kepada pengunjung yang menghadiri majlis kibar Jalur Gemilang yang akan berlangsung di Dataran Zero Sungai Petani, Kedah esok.

Ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada rakyat yang hadir untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke 56 kerana menghargai jasa serta pengorbanan pejuang terdahulu dalam memerdekakan negara.

Menurut Exco Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Kedah, Datuk Mohd Tajudin Abdullah, majlis itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau turut berkata pelbagai aktiviti dan persembahan akan diadakan pada malam pelancaran tersebut termasuk gimik persembahan dari pasukan angkatan tentera darat batalion enam rejimen Askar Melayu Diraja dengan tema “Malaysia Berdaulat Tanah Tumpahnya Darahku”.

“Gimik yang paling menarik adalah persembahan daripada Angkatan Tentera Malaysia yang akan membawa Jalur Gemilang daripada menara jam untuk diserahkan kepada Perdana menteri,” katanya.

Tambahnya, seramai 1,500 sukarelawan yang terlibat terdiri daripada Badan Kesenian Dan Kebudayaan Negeri Kedah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Majlis Belia Negeri Kedah, Jabatan Penerangan serta beberapa agensi lain, akan turut menyertai acara persembahan.

Najib juga dijangka akan melepaskan peserta konvoi kembara Jalur Gemilang yang akan mengelilingi kawasan sekitar Sungai Petani sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Kedah dipilih sebagai destinasi pelancaran kerana keunikan negeri jelapang padi ini serta keramahan rakyatnya yang hidup dengan penuh keamanan selain telah melahirkan dua tokoh yang pernah menerajui kepimpinan negara iaitu Tunku Abdul Rahman dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Seramai 30,000 orang dijangka akan menghadiri majlis pelancaran itu.