GOMBAK: Siasatan awal polis mendapati kemalangan sebuah kenderaan pengangkut kereta perisai (KPKP) milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kilometer (KM) 35.3 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, di sini, pada 7 November lalu, akibat jalan licin dan basah.


Ringkasan AI
  • Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku akibat jalan licin dan basah, menyebabkan kenderaan terbabas dan melanggar besi penghadang jalan.
  • Polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat kenyataan melangkaui siasatan.
  • Tentera Darat Malaysia (TDM) akan menubuhkan lembaga siasatan untuk menyiasat punca sebenar kemalangan yang melibatkan kenderaan membawa dua kereta perisai ADNAN.


Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati pemandu kenderaan itu dari Kem Batu 5, Mentakab, Pahang ke Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.

"Kenderaan itu telah terbabas melanggar besi penghadang jalan di sebelah kanan dan terjatuh ke arah laluan bertentangan di KM 35.3 Kuala Lumpur menghala ke Bentong akibat jalan licin dan basah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Noor Ariffin berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang telah menyalurkan maklumat berkaitan kes itu.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan melangkaui siasatan polis berhubung mana-mana kes yang masih dalam proses siasatan," katanya.

Pada 7 November lalu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dilaporkan berkata, kenderaan membawa muatan dua kereta perisai ADNAN terbalik akibat kemalangan itu.

Beliau berkata, ketika kejadian pada jam 4.48 petang, kenderaan berkenaan dalam perjalanan ke Gemas untuk tujuan latihan.

Terdahulu Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya akan menubuhkan lembaga siasatan bagi menyiasat punca sebenar kemalangan berkenaan. -Sinar Harian