Bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi pada Khamis bahawa sebagai orang nombor satu ketika itu, Najib mempunyai kuasa untuk mewujudkan ketidakstabilan dalam hidupnya.

Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, berkata walaupun bekas bosnya itu tidak pernah mengancam dirinya, beliau merasakan seolah-olah 'terperangkap di tengah-tengah' kerana Najib, sebagai perdana menteri pada masa itu, mempunyai pengaruh untuk mewujudkan kekacauan dalam hidupnya.

Saksi pendakwaan kelapan itu berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh ketua pasukan pendakwaan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari ke-10 perbicaraan kes bekas perdana menteri itu melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Apa sahaja laluan yang saya ambil, akan ada ancaman. Apa yang perlu saya lakukan adalah untuk kembali ke agama saya. Beritahu kebenaran dan berharap akan menyelamatkan saya," jelas saksi itu.

BACA: Bekas pegawai Najib dedah diarah cincang dokumen sebelum PRU14

Semasa ditanya Sri Ram mengenai dari mana datangnya ancaman itu, saksi itu berkata ia boleh datang daripada mana-mana pihak yang berkepentingan dalam perbicaraan ini, tanpa mengira siapa mereka dan dari kumpulan mana.

Sri Ram: Antara pihak berkepentingan itu ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Kamu mengambil kiranya?

Amhari Efendi: Tidak.

Sri Ram kemudian meminta saksi menjelaskan pihak berkepentingan lain yang beliau maksudkan tetapi saksi itu agak ragu-ragu.

Sri Ram: Siapa pihak berkepentingan lain?

Amhari Efendi: Sama ada mereka… (suaranya seperti tersekat)

Sri Ram: Jangan takut. Tiada siapa yang akan mengganggu kamu di sini.

Amhari Efendi: Sama ada kerajaan sekarang atau kerajaan sebelum ini.

Sri Ram: Semasa kamu ditanya tentang ancaman, kamu berkata: "berkenaan bekas bos saya". Apa yang kamu maksudkan?

Amhari Efendi: Tiada ancaman peribadi oleh Najib, sudah tentu tidak, tetapi sebagai perdana menteri….seorang perdana menteri akan mempunyai semua kuasa yang diperlukan untuk sekurang-kurangnya mewujudkan ketidakstabilan. Saya sangat sopan di sini.

Sri Ram: Ketidakstabilan dalam apa?

Amhari Efendi: Kehidupan saya, pekerjaan saya.

Sri Ram: Dan oleh perdana menteri, siapa yang kamu maksudkan?

Amhari Efendi: Najib.

Sri Ram: Beliau tertuduh, kamu perlu biasakan diri dengan perkataan tertuduh.

Sri Ram kemudian terus menyoal sama ada Amhari Efendi mengetahui yang bekas perdana menteri telah diingatkan tentang Jho Low.

Sri Ram: Daripada pengalaman bekerja dengan tertuduh sebagai perdana menteri, adakah dia selalu diberi taklimat daripada risikan?

Amhari Efendi: Saya tidak pasti sekerap mana tetapi dia dapat (maklumat daripada risikan).

Sri Ram: Adakah kamu tahu tentang satu artikel yang memetik seseorang memberi amaran kepada tertuduh (tentang Jho Low)?

Amhari Efendi: Tidak, saya tidak tahu.

Saksi itu bagaimanapun, berkata berdasarkan kepada pengalamannya, terdapat keadaan di mana beliau boleh katakan Najib telah diberi amaran tetapi berdiam diri tentangnya.

"Dari pengalaman saya, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda mempersoalkan tentang Jho Low kepada Datuk Seri Najib dalam satu mesyuarat di rumahnya (Najib) yang saya ada terlibat sama, mengenai usaha sama dengan IPIC (International Petroleum Investment Co).

"Arul ada maklumkan Datuk Seri Najib tentang kebenaran mengenai kata-kata yang diutarakan Jho Low sama ada ia adalah benar atau tidak. Perbincangan itu mengenai 'unit dana' yang telah diketengahkan kepada PM," katanya.

BACA: Sultan Mizan anggap Jho Low watak tidak menyenangkan

Dalam kejadian kedua, Amhari Efendi berkata bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memanggilnya ke biliknya kerana mendengar saksi itu sedang menjalankan timbang tara dengan IPIC.

"Johari yakin akan timbang tara itu dan menang kes berkenaan. Bagaimanapun pandangannya tidak diambil kira. Najib seorang pendengar yang baik, dia diam (semasa pertemuan dengan Arul Kanda)," katanya.

Saksi itu berkata Najib terus berurusan dengan Jho Low walaupun ahli perniagaan itu menipu bekas Ketua Menteri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud

Merujuk kepada laporan tahunan bagi tahun 2008 yang dikeluarkan Utama Banking Group (UBG) yang ditandatangani Abdul Taib, Sri Ram membaca bahagian di mana Jho Low telah meninjau aset petroleum Terengganu seawal 2008.

Sri Ram: Selepas diketahui umum yang Jho Low adalah seorang penipu, dia menipu Tun Abdul Taib Mahmud, adakah tertuduh terus berurusan dengannya?

Amhari Efendi: Ya.

Saksi kelapan itu akan meneruskan keterangannya pada Isnin ini. Beliau mula memberi keterangan pada 3 Sept, 2019.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan empat kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014, dan untuk 21 lagi pertuduhan antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat yang sama

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin.

-- BERNAMA