KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenakan penalti berjumlah RM446,092.95 ke atas tujuh syarikat persendirian atas dakwaan penglibatan mereka dalam kartel tipuan bida.

Suruhanjaya itu mengeluarkan Keputusan Dapatan Pelanggaran terhadap syarikat-syarikat berkenaan kerana melanggar seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) dengan memanipulasi bidaan untuk empat tender yang diberikan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) bernilai RM20 juta pada 2017 dan 2020.

Syarikat yang dikenakan hukuman itu ialah Agenda Eksklusif Sdn Bhd, yang didenda RM272,129.52 kerana penglibatannya dalam keempat-empat tender; Star Apex Enterprise (RM109,701.11 untuk kesemua empat tender); Spectron Sdn Bhd (RM43,889.92 kerana menyertai dua tender); Prospectrum Sdn Bhd (RM14,992.50 untuk satu tender); dan Teknokrat Makmur Enterprise (RM3,379.90 untuk satu tender).

Pada sidang akhbar hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Iskandar Ismail berkata denda dan penalti itu termasuk mewajibkan lima syarikat berkenaan mendaftar dalam program pematuhan undang-undang persaingan dan latihan yang diluluskan oleh suruhanjaya.

Selain itu, Nekad Waja Resources dan NK Panorama Enterprise masing-masing didenda RM1,000 kerana terlibat dalam kesemua empat tender dan satu tender.

"Kedua-dua syarikat ini juga dikehendaki mendepositkan bon berkelakuan baik berjumlah RM5,000 kepada MyCC untuk tempoh tiga tahun dan mendaftar program pematuhan undang-undang persaingan dan latihan," kata Iskandar.

Beliau juga menyatakan siasatan MyCC telah mengenal pasti kewujudan dua kumpulan kartel dalam tender tersebut.

Kumpulan kartel pertama ialah Agenda Eksklusif, Star Apex Enterprise, Nekad Waja Resources, Teknokrat Makmur Enterprise dan Spectron Sdn Bhd, yang memanipulasi bidaan tender.

Kumpulan kartel kedua, NK Panorama Enterprise dan Prospectrum Sdn Bhd terlibat dalam salah satu daripada empat tender.

Iskandar berkata Agenda Eksklusif memainkan peranan penting dalam keempat-empat tender dengan menetapkan harga asas, manakala Star Apex Enterprise dan Nekad Waja Resources menyerahkan bidaan yang lebih tinggi untuk memastikan Agenda Eksklusif berjaya dalam tender itu.

"Kebanyakan bukti, termasuk dokumen tender untuk kumpulan kartel pertama, ditemukan di premis Agenda Eksklusif di Majung, Perak.

"Bagi kumpulan kartel kedua, MyCC merampas semua bukti dokumen yang berkaitan dari premis Prospectrum Sdn Bhd, juga di Manjung," katanya.

Iskandar mendedahkan MyCC kini sedang menyiasat 13 kartel tipuan bida yang melibatkan 561 syarikat dalam tender bernilai RM2.37 bilion serta menilai aduan berkaitan 463 syarikat dalam tender bernilai RM9.27 bilion.

"Perlu saya tegaskan bahawa penyiasatan ini tertumpu kepada syarikat-syarikat yang terlibat dalam pelanggaran tersebut, bukannya terhadap MINDEF. Kementerian itu adalah mangsa manipulasi kartel-kartel ini.

"Kami menghargai kerjasama MINDEF dalam penyiasatan serta berdiri teguh bersama kami menentang aktiviti kartel yang tidak bertanggungjawab ini kerana kartel adalah kejahatan tertinggi dalam undang-undangpersaingan," tambah beliau.

-- BERNAMA