Hakim Datuk S. Nantha Balan yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata mahkamah memerlukan lebih banyak masa untuk mempertimbangkan hujah yang dikemukakan oleh peguam yang mewakili MyCC dan tiga syarikat - Grab Inc, Grabcar Sdn Bhd, dan Myteksi Sdn Bhd.
Beliau menetapkan sesi pengurusan kes esok, bagi menetapkan tarikh menyampaikan keputusan.
Panel itu turut dianggotai Hakim Datuk Lim Chong Fong dan Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.
Pada 6 Julai tahun lepas, Grab Inc, Grabcar Sdn Bhd dan Myteksi Sdn Bhd berjaya memperoleh perintah certiorari daripada Mahkamah Tinggi untuk membatalkan cadangan denda MyCC, yang mendorong MyCC untuk merayu keputusan itu di Mahkamah Rayuan.
Semasa perbicaraan hari ini peguam MyCC Tan Sri Tommy Thomas berhujah bahawa permohonan syarikat untuk semakan kehakiman adalah pramatang, kerana syarikat itu tidak terlebih dahulu menghabiskan usaha dalam proses rayuan yang ditetapkan di bawah Akta Persaingan 2010.
Beliau juga berhujah bahawa keputusan MyCC untuk mengenakan denda yang dicadangkan adalah tidak muktamad, oleh itu ia tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.
Dalam hujahnya beliau berkata keputusan yang dicadangkan MyCC hanyalah sebahagian daripada langkah penyiasatan Suruhanjaya, yang dijalankan atas kapasitinya sebagai badan korporat yang bertanggungjawab untuk melaksanakan dan menguatkuasakan Akta Persaingan.
Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Grab Inc dan anak syarikatnya pula membalas dengan mengatakan bahawa Mahkamah Tinggi adalah betul dalam keputusannya.
Beliau berhujah bahawa pendapat MyCC bahawa keputusan yang dicadangkan itu hanyalah sebahagian daripada proses penyiasatan, adalah salah kerana Seksyen 36 (1) Akta Suruhanjaya Persaingan menyatakan dengan jelas bahawa pengeluaran keputusan yang dicadangkan oleh MyCC adalah selepas penyiasatan selesai.
Malik Imtiaz turut berhujah bahawa walaupun keputusan MyCC tidak muktamad, ia membawa implikasi dan mempunyai kesan buruk kepada syarikat dan oleh itu permohonan semakan kehakiman seharusnya dibenarkan.
Pada Disember 2019 ketiga-tiga syarikat itu memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar denda RM86.77 juta yang dicadangkan MyCC terhadap mereka kerana dakwaan melanggar Akta Persaingan yang melibatkan klausa sekatan yang dikenakan ke atas pemandu mereka.
Pada tahun 2020 Mahkamah Tinggi menolak permohonan Grab dan anak syarikatnya bagi memulakan semakan kehakiman atas alasan bahawa langkah itu "pramatang' kerana keputusan yang dicadangkan belum muktamad.
Grab merayu keputusan itu dan pada April 2021 Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Grab untuk mendapatkan kebenaran dan mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran atas meritnya.
Pada 2022, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan MyCC untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan. Mahkamah Tinggi kemudiannya meneruskan perbicaraan penuh untuk merit semakan kehakiman pada 2022.
-- BERNAMA