Ringkasan AI
- Pihak tertentu diingatkan untuk tidak bertindak seperti wira dalam isu Titah Adendum Diraja, kerana UMNO telah lama mengusahakan keadilan untuk Datuk Seri Najib Razak.
- Datuk Seri Najib Razak mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman untuk memaksa Kerajaan mengesahkan kewujudan Titah Adendum yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
- Keputusan majoriti 2-1 di Mahkamah Rayuan memerintahkan kes dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk diputuskan oleh hakim yang berbeza.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, ini kerana UMNO melalui kepimpinan parti sudah lama mengusahakan agar keadilan diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Jangan ada yang lagak hero perjuangan tentang Datuk Seri Najib Razak.
"Ia telah lama dilakukan dengan usaha Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melalui afidavit tambahan menyokong petisyen Datuk Seri Najib Razak.
“Saya minta anggota akar umbi bersatu dan terus bersyukur serta akur dengan keputusan Mahkamah hari ini dan titah Yang di-Pertuan Agong.
“Puteri UMNO juga menjunjung kasih kepada Sultan Pahang dan mohon ihsan Yang di-Pertuan Agong untuk Datuk Seri Najib Razak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Datuk Seri Najib Razak berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa Kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Keputusan majoriti 2 -1 dibuat Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membenarkan rayuan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman itu, manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel menentangnya.
Sehubungan itu, panel memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan (dikembalikan) ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya merit semakan kehakiman terbabit dan diputuskan.
Najib, 72, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai tahun lalu yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Najib mendakwa Titah Adendum itu akan membolehkan bekas perdana itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutannya termasuk kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima kerana ia khabar angin semata-mata.
Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari tahun lalu.