Panel tiga hakim diketuai Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan rayuan pihak pendakwaan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang membebaskan dan melepaskan mereka pada 23 Okt 2023.
Hakim Che Mohd Ruzima, yang bersidang bersama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap keempat-empat individu berkenaan.
"Berdasarkan hujahan mengenai kematian Nhaveen, terdapat kekhilafan dalam dapatan Mahkamah Tinggi," katanya.
Empat individu tersebut -- J. Ragesuthan, 26, S. Gokulan, 26, dan dua individu yang merupakan remaja ketika kejadian -- telah diarahkan untuk membela diri berhubung tuduhan tersebut.
Mahkamah turut memerintahkan keempat-empat individu tersebut untuk membela diri atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap rakan Nhaveen, T. Previin, yang berusia 19 tahun ketika itu.
Panel hakim juga mengembalikan semula kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bagi membolehkan keempat-empat lelaki tersebut membela diri.
Che Mohd Ruzima juga memerintahkan agar kesemua mereka direman sementara menunggu perbicaraan.
Sementara itu, panel yang sama mengekalkan keputusan pembebasan S. Gopinaath, 34, yang telah didakwa pada tahun 2021, empat tahun selepas kejadian, sementara perbicaraan masih berjalan.
"Kami bersetuju dengan peguam Gopinaath bahawa prejudis telah berlaku terhadap anak guamnya kerana dia hanya didakwa ketika seorang saksi pendakwaan memberi keterangan," katanya, sambil menambah pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Gopinaath.
Mereka didakwa membunuh Nhaveen, yang ketika itu berusia 18 tahun, di sebuah taman di Jalan Bunga Raya antara jam 11 malam hingga tengah malam pada 9 Jun 2017.
Berhubung tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Previin, mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh di Jalan Kaki Bukit, Gelugor, antara jam 11 malam hingga tengah malam pada 9 Jun 2017.
Menurut fakta kes, Nhaveen dipukul dengan topi keledar. Beliau dihantar ke Hospital Pulau Pinang tetapi meninggal dunia enam hari kemudian, pada 15 Jun 2017.
Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari dan Yazid Mustaqim Roslan hadir bagi pihak pendakwaan manakala peguam Datuk Naran Singh mewakili Ragesuthan, Gokulan, Gopinaath dan salah seorang remaja tersebut.
Peguam Maanveer Singh Dhillon mewakili seorang lagi remaja.
-- BERNAMA