Pengerusi MyCC, Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus, berkata syarikat terbabit dipercayai melakukan pelanggaran Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712).
Katanya, aktiviti kartel tipuan bida itu dipercayai membabitkan enam tender kerja penyenggaraan dikeluarkan Perbadanan Putrajaya (PPJ) pada 2018, 2019 dan 2021.
"Penyiasatan MyCC, pada peringkat Keputusan Cadangan ini, mendapati bahawa kesemua kontraktor ini telah melakukan aktiviti kartel tipuan bida melalui perjanjian dan amalan bersepadu untuk menetapkan harga bidaan mereka, berkongsi maklumat bidaan serta menyelaraskan penyediaan dan penyerahan bidaan mereka.
"Penting untuk ditekankan bahawa Keputusan Cadangan yang diisukan oleh MyCC adalah dapatan awal. Maka, tidak boleh diandaikan bahawa mana-mana perusahaan yang dinyatakan di atas telah melanggar Akta 712 pada peringkat ini.
"Seperti yang diperuntukkan dalam Akta 712, kontraktor-kontraktor yang dinamakan dalam Keputusan Cadangan ini telah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadangkan oleh MyCC.
"Perusahaan-perusahaan ini diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis kepada MyCC dalam tempoh 30 hari selepas menerima Keputusan Cadangan," katanya.
Beliau berkata, selepas itu, perusahaan terbabit diberi peluang untuk membentangkan representasi lisan masing-masing kepada MyCC pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.
Katanya, MyCC hanya akan mengeluarkan Keputusan Akhir selepas mempertimbangkan representasi oleh perusahaan terbabit bersama bukti yang diperolehi semasa proses penyiasatan.