KUALA LUMPUR:Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan dilaksanakan di Selangor mulai tengah malam ini hanya melibatkan Mukim Klang.

Tambahnya, ia tidak melibatkan kawasan lain seperti Pelabuhan Klang dan Kapar.

“Semalam, saya telah mengumumkan bahawa kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan PKPB di Klang yang akan berkuatkuasa pada 9 Oktober 2020.

“Setelah mendapat nasihat daripada KKM dan berbincang dengan YAB Menteri Besar Selangor, mesyuarat bersetuju PKPB di Klang adalah di Mukim Klang.

“Walau bagaimanapun, kerajaan masih berbincang dengan kerajaan negeri Selangor mengenai kawasan dan lokaliti yang terlibat dan akan mengumumkan setelah ianya ditentukan,” jelas Ismail Sabri dalam sidang media pada Khamis.

Bagi memastikan kegiatan ekonomi dan bekalan barangan serta makanan tidak terjejas, ini antara ekonomi yang dibenarkan beroperasi:

Pasar Borong bermula jam 4.00 pagi sehingga 2.00 petang

Pasar Biasa bermula jam 6.00 pagi sehingga 2.00 petang

Pasar Tani bermula jam 6.00 pagi sehingga 12.00 tengahari

Walau bagaimanapun, operasi pasar malam adalah tidak dibenarkan.

Grafik Astro AWANI

BACA: COVID-19: Senarai sekolah ditutup di daerah Klang

BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)




Kedai-kedai makan, gerai dan warung juga boleh dibuka tetapi terhad dari jam 6 pagi sehingga 10 malam dan hanya untuk pembelian secara pandu lalu, penghantaran serta take away sahaja.

Selain itu, pengangkutan awam seperti bas, teksi termasuk e-hailing dibenarkan beroperasi bermula jam 6 pagi sehingga 12 tengah malam.

Tambah Ismail Sabri, senarai lebih terperinci kegiatan ekonomi yang dibenarkan dan tidak dibenarkan akan diumumkan oleh MITI dalam masa terdekat.