PAGOH: Bapa kepada kanak-kanak berusia 11 tahun, Noradriana Nor Hisyam yang maut dalam kebakaran bersama datuk dan neneknya di sebuah rumah di Kampung Sekolah Paya Redan, di sini mendakwa terdapat kesan hentakan pada bahagian muka anaknya.

Norhasyim Mohd Taher, 43, berkata dia yang pada awalnya menyangkakan insiden malang menimpa anak serta ibu dan bapa mentuanya sebagai kemalangan biasa terkejut apabila dimaklumkan wajah anaknya hancur bukan akibat kebakaran semata-mata.

"Saya boleh kata keadaan muka anak saya hancurlah kerana ada kesan ketukan yang mana kita tidak tahu apa punca (sebenar)nya.

"Ikut kata doktor, kesan kebakaran itu tidaklah teruk sangat tetapi kerana ketukan benda tumpul yang kuat di kepala," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Redan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, manakala jenazah ibu dan bapa mentuanya Mohamed Nor Mohamed Yasin, 82 serta Ara Abdul Hamid, 76 belum dapat dituntut sementara menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) berikutan keadaanya yang rentung lebih 80 peratus.

"Pihak hospital maklumkan paling lewat pun dalam masa tujuh hari (dituntut) kerana mereka ingin lakukan ujian DNA dan hari ini waris akan ke hospital untuk ambil darah," katanya.

Sementara itu, Norhasyim berkata, anak tirinya Norazima Mohd Radhi,14, yang turut terlibat dalam kejadian kebakaran itu masih dirawat di HPSF.

"Ketika kejadian itu saya berada di Kuala Krai kerana saya bekerja sebagai pemandu van barangan rempah ratus dan apabila terima maklumat saya terus bergegas pulang.

"Tetapi saya difahamkan sehingga kini pihak hospital dan pihak polis masih tidak membenarkan sesiapa untuk melawat anak tiri saya kerana dia berada dalam keadaan trauma," tambahnya.

Terdahulu, dalam kejadian awal pagi semalam pasangan warga emas Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan Ara Abdul Hamid, 76, serta cucu mereka Noradriana Nor Hisyam, 11, maut selepas rumah mereka hangus dijilat api.

Pasangan warga emas itu maut dilokasi kejadian manakala cucunya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.

Insiden itu turut menyebabkan seorang lagi cucu perempuan mereka yang berusia 14 tahun mengalami kecederaan dan sedang dirawat di HPSF.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz turut memaklumkan pihak polis sedang mengesan anak lelaki pasangan warga emas itu yang dipercayai melarikan diri ketika kejadian berkenaan.