KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) akan meneliti keperluan memasukkan kenderaan pengangkutan pelancongan di bawah program Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0.


Ringkasan AI
  • Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) akan meneliti keperluan memasukkan kenderaan pengangkutan pelancongan di bawah program Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0.
  • Perdana Menteri mengarahkan agar kumpulan pengusaha kenderaan bas dan van pelancong yang terlibat dalam pelancongan asing diberikan bantuan dan disantuni.
  • Edaran fleet card SKDS 2.0 perlu dipercepatkan kepada pemohon, dan pengusaha yang menerima subsidi perlu menyimpan bukti pembayaran untuk tuntutan semula perbelanjaan bahan api.


Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, tindakan tersebut selaras dengan arahan Perdana Menteri yang prihatin dengan tuntutan beberapa kumpulan sektor berkenaan yang terkesan dengan penyasaran semula subsidi.

“Ada sejumlah pengusaha kenderaan bas dan van pelancong yang melibatkan pelancong asing minta supaya meneliti (subsidi diesel). Memandangkan mereka telah menjual pakej-pakej pelancongan di Malaysia di beberapa negara asing. Pada ketika pengumuman ini dibuat, ia tidak dimasukkan dalam kos. 

“Perdana Menteri telah meminta pihak MOTAC dan MOT untuk meneliti agar, pertama, kumpulan ini bukan sahaja disantuni, bahkan dibantu. Diteliti bentuk bantuan dan perlu penyelarasan. Ini akan diumumkan kemudian oleh pihak MOTAC,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguannya di sini hari ini.

Fahmi turut memaklumkan Perdana Menteri telah mengarahkan agar edaran fleet card dipercepatkan kepada pemohon.

Beliau turut mengulangi peringatan kepada pengusaha-pengusaha layak yang untuk menerima subsidi di bawah SKDS 2.0 untuk menyimpan bukti pembayaran bagi tujuan tuntutan semula perbelanjaan bahan api berkenaan.

“Perdana Menteri telah meminta supaya isu-isu berkaitan fleet card SKDS 2.0 diteliti dan supaya fleet card ini boleh dipercepatkan edaran kepada pemohon. 

“Peringatan juga diberikan kepada mereka yang sudah mohon fleet card tetapi belum menerimanya untuk menyimpan resit dan mengikuti proses yang telah diumumkan Menteri Kewangan II mengenai pembayaran semula subsidi diesel kenderaan mereka yang telah di daftarkan dalam SKDS 2.0,” ujarnya.

Ahad lepas, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik bermula 10 Jun 2024.